Huawei perkenal inovasi terbaharu WATCH FIT 3, Matebook X Pro

Amzar Alif
Mei 17, 2024 12:50 MYT
Pakar Produk Kanan HUAWEI, Farangis Sultonzoda berkongsi tentang HUAWEI WATCH FIT 3 pada majlis HUAWEI Innovative Product Launch di ibu negara. - Gambar HUAWEI -Gambar HUAWEI
HUAWEI dengan bangganya memperkenalkan dua produk revolusioner iaitu HUAWEI WATCH FIT 3 dan HUAWEI MateBook X Pro 2024, menandakan lembaran baharu dalam gabungan fesyen dan teknologi dalam pasaran boleh pakai.
HUAWEI WATCH FIT 3 mengukuhkan lagi komitmen Huawei dalam menggabungkan teknologi termaju dengan reka bentuk segi empat and elegan bagi menyediakan pengguna dengan produk yang meningkatkan pengalaman digital dan gaya hidup mereka.
Tampil dengan fungsi HUAWEI TruSeenTM 5.5 terbaharu bagi pemantauan kadar denyutan jantung, kadar oksigen dalam darah, dan kadar tekanan, HUAWEI WATCH FIT 3 dapat memantau kesihatan pengguna dengan lebih menyeluruh.
Dengan HUAWEI TruSleepTM 4.0 bagi menjejak durasi tidur yang sihat untuk para pengguna, Huawei turut menambah fungsi pemantauan kadar penafasan ketika tidur untuk memastikan kualiti dan durasi tidur tidak dipengaruhi.
Selebriti terkenal Anna Jobling, yang juga antara terawal merasai sendiri pengalaman memakai HUAWEI WATCH FIT 3, sempat berkongsi pengalaman menakjubkan mengenai reka bentuk dan ciri menarik pada jam itu.
“Ia lebih daripada sekadar penjejak kecergasan, sebenarnya ia adalah aksesori bergaya yang melengkapkan setiap pakaian dan pelbagai acara.
"Namun ia bukan tanya tentang penampilan, malah ia padat dengan ciri pengurusan kecergasan yang komprehensif.
“Satu ciri yang saya gemari ialah Penjejak Kalori dan HUAWEI WATCH FIT 3 ini menggabungkan gaya, fungsi dan inovasi yang luar biasa agar dapat memenuhi semua aspek gaya hidup aktif,” katanya semasa HUAWEI Innovative Product Launch di ibu negara pada Isnin.
Selain itu, pengguna yang gemar bersukan juga dapat memanfaatkan lebih 100 mod senaman dan sistem pengurusan kalori yang canggih serta nasihat kecergasan yang tersedia melalui aplikasi kesihatan Huawei secara percuma.
Boleh dipadankan dengan kedua-dua peranti iOS dan Android serta bateri yang mampu bertahan sehingga 10 hari, HUAWEI WATCH FIT 3 memastikan pemakai kekal berhubung dengan lancar.
Paparan definisi tinggi AMOLED 1.82 inci juga memastikan visual yang jelas termasuk badan aloi aluminium yang direka dengan teliti memberikan rasa bergaya dan ringan apabila dipakai.
Ia tampil dengan reka bentuk segi empat sama dan tersedia dalam enam varian warna termasuk hijau, putih, merah jambu, hitam, kulit putih serta nilon kelabu dengan kemasan tali berkualiti tinggi.
Harga ditawarkan bermula dari RM599 hingga RM699 dan bagi pelanggan yang membuat tempahan awal jam tangan itu akan menerima hadiah percuma bernilai RM89 serta dapat menebus baucar early bird RM30 bermula 13 hingga 17 Mei 2024.
Sementara itu, HUAWEI MateBook X Pro 2024 menetapkan standard baharu untuk komputer riba ultraslim, memberikan pengguna pengalaman yang tiada tandingan.
Mempunyai salah satu badan yang paling ringan dan nipis dalam kelasnya serta menawarkan prestasi yang mantap dengan pemproses Intel® Core™ Ultra 9 Processor, menjadikan ia pilihan tepat untuk profesional tanpa menjejaskan saiz skrin.
Ia juga memiliki skrin sentuh Flexible OLED 14.2 inci yang mencapai resolusi sehingga 3K dengan nisbah skrin ke badan sebanyak 93 peratus.
Di samping itu, HUAWEI MateBook X Pro ini adalah laptop pertama Huawei yang disokong oleh gamut warna Adobe RGB bagi mendapatkan visual yang jelas dan tepat sesuai untuk menghasilkan pelbagai seni lukisan.
HUAWEI MateBook X Pro 2024 ini bermula RM8,999 hingga RM10,999 dan tersedia untuk prapesanan dari 13 hingga 24 Mei 2024 di semua rangkaian rasmi Huawei dan kedai dalam talian.
#Anna Jobling #HUAWEI Watch Fit 3 #HUAWEI Matebook X Pro #HUAWEI Innovative Product Launch
;