HSBC pandang serius aduan NUBE, tamatkan mediasi dan semakan kehakiman di Malaysia
Astro Awani
September 20, 2021 11:11 MYT
September 20, 2021 11:11 MYT
KUALA LUMPUR: HSBC Bank Malaysia Berhad memandang serius aduan rasmi yang Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan memutuskan untuk menamatkan mediasi dan semakan kehakiman di Malaysia sebelum memulakan proses seterusnya.
Dalam kenyataan hari ini, HSBC memaklumkan, Malaysia adalah pasaran keutamaan dan pihak mereka akan terus melabur bagi peningkatan sumber manusia dan teknologi.
"Beberapa isu yang dikemukakan kepada UK National Contact Point (UK NCP) kini diteliti oleh mahkamah di Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia dan HSBC terikat dengan proses perundangan yang sedang berjalan.
"Oleh itu, kami berasa wajar untuk menamatkan mediasi dan semakan kehakiman yang ada di Malaysia sebelum memulakan mediasi lebih lanjut," kenyataan itu menyebut.
Pada Julai lepas, NUBE membuat 93 laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne, atas keputusannya membuang pekerja ketika pandemik.
Dalam maklum balas, HSBC berkata ia sedang melakukan pembaharuan dalaman bank yang akan melibatkan pembentukan lebih 200 penjawatan baharu bagi memenuhi perkembangan industri perbankan.
Ini termasuklah memindahkan kakitangan sedia ada kepada jawatan dan peranan baharu.