HRD Corp yakin berjaya terajui PLM
Amzar Alif
Januari 23, 2024 12:00 MYT
Januari 23, 2024 12:00 MYT
Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bakal menggalas tanggungjawab besar apabila diberi mandat untuk menerajui dan menyampaikan Program Latihan Madani (PLM).
HRD Corp dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan, pihaknya yakin mampu menjadi pemacu utama dalam membantu negara memanfaatkan potensi setiap rakyat Malaysia agar menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Jelas kenyataan itu, HRD Corp telah bekerja keras untuk melibatkan diri dengan pihak berkepentingan bagi membina PLM sejak pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024.
“Langkah tersebut dapat mengambil kira maklum balas pihak berkepentingan serta membimbing mereka untuk menyampaikan bantuan dengan berkesan kepada kumpulan sasaran.
“PLM ialah satu inisiatif yang bertujuan memperkasakan PKS mikro negara dan komuniti yang memerlukan melalui peluang latihan dan pembangunan.
“Ia bertujuan meluaskan akses kepada latihan dan pembangunan untuk pekerja dalam mikro-PKS, orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesara, individu yang masih dan pernah dipenjarakan serta komuniti B40,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, melalui PLM, HRD Corp mahu menjadikan peluang latihan dan pembangunan berkualiti tinggi boleh diakses oleh segmen masyarakat yang sering diabaikan.
“Terdapat lima inisiatif di bawah PLM iaitu Seniors Back In Action (SEBA), Second Chances And Opportunities For People To Excel (SCOPE), Pembangunan Orang Kurang Upaya, Pembangunan MSME, dan Pembangunan B40, “ jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menjelaskan, HRD Corp berazam untuk menjadikan PLM satu kejayaan yang luar biasa dan menggesa semua penyedia latihan berdaftar memainkan peranan penting dengan mengemukakan cadangan.
Untuk sebarang maklumat mengenai PLM dan penyerahan cadangan boleh layari di portal rasmi https://hrdcorp.gov.my/plm.