Hong Leong Bank yakin Watson akan menambah baik perkhidmatan pelanggan kad kredit

Pritha Manivannan
Januari 12, 2016 10:53 MYT
Pinto (tengah) menandatangani perjanjian dengan IBM di sebuah hotel di ibu negara pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Pritha Manivannan
Pelanggan kad kredit Hong Leong Bank Berhad (HLBB) bakal menikmati perkhidmatan pelanggan atas talian yang lebih efisien melalui pelaksanaan teknologi Watson.
Watson merupakan sebuah teknologi pengkomputeran pintar yang dapat menjawab pertanyaan pelanggan dengan pantas dan berkomunikasi seperti manusia.
HLBB merupakan bank yang pertama di Malaysia yang memanafaatkan pengkomputeran pintar, IBM Watson.
Teknologi Watson yang dikendalikan oleh IBM dapat memproses data pada kelajuan 500GB setiap saat.
Menurut Ketua Pegawai Operasi HLBB, Edward Pinto, teknologi ini akan mengambil masa empat hingga enam bulan sebelum ia bermula operasinya kepada pelanggan.
Tambah beliau, selepas operasi dimulakan ia akan mengambil empat hingga enam bulan lagi untuk HLBB mengambil keputusan jika ia hendak meluaskan penggunaan teknologi ini ke sektor lain di banknya.
"Kami mempunyai perjanjian jangka panjang dengan IBM. Dengan pastinya kita mempunyai data besar dan kad kredit menjana data yang paling banyak. Oleh itu, kami memulakan dengan kad kredit.
"Kami dan IBM yakin berdasarkan keputusan yang kami lihat setakat ini dari negara lain.
Kami dan IBM yakin berdasarkan keputusan yang kami lihat setakat ini dari negara lain.
"Kami rasa kami akan dapat melihat keputusan penggunaan teknologi ini dalam jangka empat hingga enam bulan dan selepas itu, kami akan mengambil keputusan jika kami hendak mengembangkan penggunaan teknologi ini ke sektor lain di bank kami," kata Pinto pada Isnin.
Pada peringkat awal, teknologi kognitif ini akan berfungsi sebagai penasihat perkhidmatan pelanggan atas talian bagi kad kredit.
Perkhidmatan ini akan berfungsi 24 jam setiap hari bagi menjawab pertanyaan para pemegang kad.
Bagaimanapun, Pinto berkata setakat ini ia hanya akan menjawab dalam bahasa Inggeris.
Tambahnya, keselamatan data pelanggan tidak akan diabaikan melalui pelaksanaan Watson dan sentiasa merupakan tumpuan utama HLBB.
IBM telah melaburkan RM1 bilion bagi teknologi Watson pada awal 2014.
Selain sektor perbankan, beberapa negara yang lain juga menggunakan teknologi ini dalam sektor penjagaan kesihatan dan perkhidmatan undang-undang.
#Edward Pinto #HLBB #Hong Leong Bank Berhad #IBM #pembelajaran kognitif #Watson
;