Honda, Nissan umum pelan terperinci penggabungan pertengahan Februari

Bernama
Januari 31, 2025 15:15 MYT
Honda Motor Co dan Nissan Motor Co dijangka mengumumkan butiran terperinci mengenai rancangan penggabungan syarikat pada pertengahan Februari. -Gambar fail
TOKYO: Honda Motor Co dan Nissan Motor Co dijangka mengumumkan butiran terperinci mengenai rancangan penggabungan syarikat pada pertengahan Februari, lapor Kyodo News pada Jumaat dengan memetik pegawai syarikat.

Ringkasan AI
  • Honda Motor Co dan Nissan Motor Co dijangka mengumumkan butiran terperinci mengenai rancangan penggabungan syarikat pada pertengahan Februari.
  • Dua pengeluar kenderaan terbesar kedua dan ketiga Jepun itu sebelum ini bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai penggabungan di bawah sebuah syarikat induk pada 2026.
  • Mitsubishi Motors Corp, rakan kongsi Nissan, kini cenderung untuk bergerak sendiri dan tidak menyertai penggabungan.

Dua pengeluar kenderaan terbesar kedua dan ketiga Jepun berdasarkan jumlah jualan itu sebelum ini bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai penggabungan di bawah sebuah syarikat induk pada 2026. Mereka sebelum ini menyatakan akan mendedahkan perincian penggabungan menjelang akhir Januari.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, Honda menggesa Nissan, yang sedang bergelut dengan masalah kewangan, untuk memperkukuh usaha penstrukturan semula.
November lalu, Nissan mengumumkan pengurangan 9,000 pekerja di seluruh dunia dan pengurangan kapasiti pengeluaran global sebanyak 20 peratus selepas melaporkan kejatuhan lebih 90 peratus dalam keuntungan bersih bagi tempoh April-September.
Sementara itu, Mitsubishi Motors Corp rakan kongsi Nissan, yang sebelum ini mempertimbangkan untuk menyertai penggabungan, kini cenderung untuk bergerak sendiri, menurut sumber lain.
-- BERNAMA
#Honda #Nissan #rancangan penggabungan syarikat #Mitsubishi Motors Corp
;