Honda Malaysia panggil balik 2,784 kenderaan model Accord, CR-V
Bernama
November 26, 2020 16:30 MYT
November 26, 2020 16:30 MYT
KUALA LUMPUR: Honda Malaysia hari ini memanggil balik 2,784 kenderaannya untuk menggantikan inflator beg udara bahagian pemandu Takata, seiring dengan panggilan balik Honda global bagi Inflator Beg Udara Pemandu Bukan Azida (NADI).
Langkah itu membabitkan 1,380 unit Accord (model tahun 1999) dan 1,404 unit CR-V (model tahun 2000).
Honda Malaysia memberi jaminan bahawa model jualan semasa tidak terkesan dengan panggilan balik itu dan pihaknya akan terus berpegang kepada ketelusan dan kawalan ketat untuk pelanggan.
"Syarikat yakin pangggilan balik ini adalah perlu sebagai langkah pencegahan untuk mengatasi kemungkinan inflator beg udara bahagian pemandu Takata mengalami tekanan dalaman berlebihan dan dengan itu, menyebabkan beg udara gagal berfungsi dengan baik atau pecah," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Honda Malaysia, setakat hari ini, tiada laporan di Malaysia berhubung kejadian kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh beg udara bahagian pemandu Takata bagi kedua-dua model tahun tersebut.
Pelanggan yang terlibat bagi panggilan balik itu akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan, yang akan merangkumi butiran panggilan balik produk, katanya.
"Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terkesan supaya menghubungi pengedar sah Honda bagi menetapkan temu janji selepas menerima surat pemberitahuan bagi menggantikan inflator beg udara bahagian pemandu, tertakluk kepada ketersediaan komponen.
"Syarikat memohon semua pelanggan yang terlibat supaya membuat temu janji lebih awal untuk memastikan proses penggantian beg udara bahagian pemandu itu berjalan lancar dan pantas," menurutnya.
Pelanggan juga diminta mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk memakai pelitup muka dengan betul, mengekalkan penjarakan fizikal, sanitasi tangan secara kerap apabila berkunjung ke pusat pengedar, menurut Honda Malaysia.
Penggantian inflator beg udara bahagian pemandu Takata yang terjejas adalah percuma dan semua kos berkaitan dengan aktiviti penggantian ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia.
Stok pengganti akan tersedia secara berperingkat, menurutnya.
Pemilik kenderaan boleh menyemak status panggilan balik kenderaan mereka sama ada menerusi www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my atau menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020.
-- BERNAMA
#Honda
#honda malaysia
#inflator beg udara
#Honda Accord
#Honda CR-V
#panggilan balik
#kemalangan
#operasi
#model