HLIB jangka pertumbuhan KDNK perlahan pada suku pertama 2023

Bernama
Mei 11, 2023 16:14 MYT
Dari segi permintaan, bank pelaburan itu berkata penggunaan swasta dijangka terus menjadi pemacu pertumbuhan yang paling ketara, walaupun pada kadar yang perlahan. -Gambar fail/Flickr
KUALA LUMPUR: Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2023 akan mencatatkan pertumbuhan yang perlahan sebanyak 5.2 peratus tahun ke tahun berbanding 7.0 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2022, berikutan pertumbuhan yang sederhana dalam semua sektor.
Dari segi permintaan, bank pelaburan itu berkata penggunaan swasta dijangka terus menjadi pemacu pertumbuhan yang paling ketara, walaupun pada kadar yang perlahan.
"Kami menjangka sektor pembuatan mencatatkan sederhana, dicerminkan oleh kelembapan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pembuatan pada suku pertama 2023 yang mencatatkan 3.4 peratus tahun ke tahun berbanding 4.0 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2022.
"Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti pembuatan berorientasikan eksport yang perlahan pada suku tahun tersebut dalam keadaan pertumbuhan global yang lemah dan permintaan antarabangsa yang rendah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Katanya, pengeluaran berorientasikan domestik terus mengukuh, berkembang pada 6.0 peratus tahun ke tahun pada suku tahun tersebut berbanding 3.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2022.
Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan turut dijangka perlahan, sejajar dengan indeks volum perkhidmatan yang lebih sederhana.
"Bagaimanapun, kami melihat pertumbuhan perkhidmatan disokong oleh peningkatan ketibaan pelancong dan permintaan domestik berikutan perayaan Tahun Baharu Cina dan sambutan sebelum Hari Raya.
"Ini dapat dilihat daripada pertumbuhan yang berterusan dalam sektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, walaupun pada kadar yang perlahan," katanya.
Menurut HLIB, sektor perlombongan turut dijangka sederhana berikutan pengeluaran yang perlahan disebabkan pengeluaran petroleum mentah dan gas asli yang rendah.
"Kami turut menjangka pertumbuhan yang perlahan dalam sektor pertanian, sebahagian besarnya disebabkan oleh pengeluaran minyak sawit yang rendah pada suku tahun tersebut, terjejas oleh hujan lebat dan banjir pada Mac," katanya.
Sementara itu, katanya sektor pembinaan dijangka terus menyokong pertumbuhan berikutan peningkatan nilai kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan pada suku pertama 2023, terutamanya dalam kejuruteraan awam dan bangunan bukan kediaman.
Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan keputusan KDNK suku pertama 2023 esok.
-- BERNAMA
#HLIB #KDNK #suku pertama 2023 #penggunaan swasta
;