HLIB jangka harga minyak kekal tidak berubah pada separuh pertama 2023

Bernama
Disember 21, 2022 08:00 MYT
HLIB menjangkakan bekalan dan permintaan minyak global akan setara pada 100 juta hingga 102 juta tong sehari pada separuh pertama 2023.
KUALA LUMPUR: Harga minyak dijangka kekal tidak berubah pada separuh pertama 2023 berikutan dinamik permintaan dan bekalan diramalkan pada tahap setara dalam tempoh beberapa bulan akan datang, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Bank pelaburan itu turut menurunkan ramalannya bagi minyak mentah Brent kepada AS$85-AS$90 setong pada tahun depan daripada AS$93-AS$98.
"Kami juga berpandangan bahawa super kitaran petrokimia kini di belakang kita memandangkan sebaran produk yang dilihat semakin meningkat," katanya dalam nota penyelidikan pada Selasa.
HLIB berkata ia positif ke atas Prospek Aktiviti Petronas bagi 2023-2025 yang dikeluarkan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) semalam berikutan rantaian nilai utama seperti pelantar penggerudian, penyambungan dan pengoperasian luar pesisir, penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian, serta segmen kapal pengangkut sokongan luar pesisir diramal menyaksikan tahap aktiviti lebih baik pada 2023.
Ia menjangkakan bekalan dan permintaan minyak global akan setara pada 100 juta hingga 102 juta tong sehari pada separuh pertama 2023, namun diramal menyaksikan risiko peningkatan berikutan kemungkinan besar untuk China dibuka semula tahun depan.
Dalam pada itu, bank pelaburan itu menjangkakan perbelanjaan modal (capex) Petronas kekal pada paras RM40 bilion hingga RM50 bilion pada setiap tahun antara 2023 dan 2025 dengan sektar 15 peratus daripada capex tahunan diperuntukkan kepada inisiatif tenaga boleh baharu.
-- BERNAMA
#harga minyak #HLIB #permintaan #bekalan
;