HLBB lantik Kevin Lam Sai Yoke sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif mulai 1 Julai
Bernama
Mei 15, 2023 21:52 MYT
Mei 15, 2023 21:52 MYT
KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Bhd (HLBB) melantik Kevin Lam Sai Yoke sebagai Pengarah Urusan kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya berkuat kuasa 1 Julai 2023.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata Lam akan menggantikan Domenic Fuda, yang akan bersara daripada jawatan yang sama berkuat kuasa 30 Jun 2023.
Ia berkata Lam mempunyai pengalaman yang luas dalam perbankan, teknologi dan kepimpinan selama lebih 30 tahun merentas bank serantau dan antarabangsa di beberapa negara.
"Sebelum menyertai HLBB, Lam berkhidmat sebagai ketua perbankan digital kumpulan TMRW United Overseas Bank Ltd (UOB) untuk pasaran serantau utamanya yang berpangkalan di Singapura.
"Beliau (sebelum ini) bekerja di pelbagai pasaran Asean selama sedekad, termasuk di Jakarta sebagai presiden pengarah UOB Indonesia dan di Kuala Lumpur, beliau mengetuai perkhidmatan kewangan peribadi di UOB Malaysia dan kemudiannya berkhidmat sebagai timbalan ketua pegawai eksekutifnya, menyelia perniagaan perbankan borong dan teknologi serta operasi (segmen)," katanya.
Sementara itu, HLBB berkata ia mengucapkan terima kasih kepada Fuda atas kepimpinan dan pencapaiannya serta mendoakan kejayaannya dalam memulakan fasa seterusnya dalam hidupnya.
Bank itu berkata, Fuda telah menerajui pertumbuhannya dengan memberikan tumpuan utama kepada penyelesaian yang mengutamakan pelanggan, teknologi dan pelaburan digital serta kemampanan sebagai tonggak strategik untuk pertumbuhan semasa dan masa depannya.
Ia berkata di bawah kepimpinan Fuda, bank itu telah melalui transformasi saluran penyampaian, pematuhan yang kukuh dan asas pengurusan risiko, inisiatif strategik peneraju industri bagi memenuhi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta menerajui metrik kewangan terkemuka dalam produktiviti dan pulangan yang konsisten.
Mengulas mengenai pengumuman itu, Fuda berkata beliau telah mendapat keistimewaan untuk menerajui HLBB melalui tempoh transformasi digital dan teknologi yang ketara, perubahan dalam keutamaan dan keperluan pelanggan serta pandemik yang tidak pernah berlaku sebelum ini, di samping terlibat dalam peringkat awal dalam perjalanan mencapai matlamat ESG/kemampanan.
-- BERNAMA