Hilton Kota Kinabalu adaptasi langkah ESG terhadap ekosistem perniagaan syarikat
Haikal Raman
Julai 21, 2023 20:30 MYT
Julai 21, 2023 20:30 MYT
KOTA KINABALU: Hilton Kota Kinabalu terus komited terhadap hala tuju syarikat ke arah mengadaptasi inisiatif amalan alam sekitar, sosial, dan pengurusan (ESG) dalam ekosistem perniagaannya.
Pengarah Komersialnya, Shona Labasing berkata, pihaknya melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pertemuan perniagaan dan acara dengan tujuan untuk mempromosikan kelestarian serta kesejahteraan sambil menyokong komuniti setempat.
Antara inisiatif tersebut adalah melancong dengan tujuan (travel with purpose), inisiatif ESG dan telur bebas kandang.
Menerusi inisiatif telur bebas kandang ini, ia mampu menyokong kesejahteraan haiwan dan memastikan telur yang digunakan dalam hidangan kuliner hotel berasal dari amalan ternakan berperikemanusiaan.
Beliau berkata, syarikat berusaha untuk memberi impak positif terhadap alam sekitar dan komuniti melalui operasi, rantaian bekalan, dan sebagainya. Melalui pelaksanaan Travel with Purpose, Hilton bertekad untuk membuat perubahan positif di setiap pasaran yang mereka terlibat.
“Kami bekerjasama dengan sebuah NGO tempatan, Mukim Ulu Kiulu Ecotourism Solutions & Technologies (MUKEST) untuk mengubah guna cadar dan linen hotel menjadi beg dobi.
“Ini merupakan projek pembangunan komuniti yang melibatkan wanita luar bandar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi sosial mereka. Beg dobi kami diperbuat daripada cadar hotel yang dikitar semula sepenuhnya,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Hilton Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Tambah Shona, sebagai sebahagian daripada usaha pengadaan yang mampan, Hilton Kota Kinabalu telah beralih kepada menggunakan telur bebas kandang daripada pembekal tempatan iaitu Kiulu Farmstay sekali gus menyokong amalan pertanian beretika.
“Telur bebas kandang ini disajikan untuk sarapan di Executive Lounge. Bagi kami langkah dilakukan ini mampu menyokong kesejahteraan haiwan dan memastikan telur digunakan dalam hidangan kuliner hotel berasal dari amalan ternakan yang berperikemanusiaan," ujarnya.
Hilton Kota Kinabalu mempunyai bilik mesyuarat yang serba lengkap bersama teknologi canggih, sekali gus dapat memastikan urusan mesyuarat, persidangan mahupun apa-apa acara akan berjalan dengan lancar.
Beliau dalam pada itu berkata, bergerak ke hadapan, Hilton Kota Kinabalu akan meningkatkan lagi pengalaman mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) syarikat dengan memberi lebih tumpuan kepada kesejahteraan dan produktiviti peserta semasa mereka berada di hotel.
Hotel akan menawarkan pelbagai aktiviti kecergasan yang peserta boleh jalankan semasa waktu rehat. Aktiviti-aktiviti ini termasuk sesi yoga, meditasi berpandu dan senaman ringan selain mereka akan dihidang dengan pilihan makanan berasaskan tumbuhan yang lebih sihat.