HBA: Jangan tergesa-gesa beli rumah baru

Malik Ridhwan
Disember 8, 2015 10:43 MYT
Periksa dahulu dengan institusi kewangan status kewangan anda untuk mendapatkan pinjaman. - Gambar Fail
Pembeli dinasihatkan untuk tidak tergesa-gesa membeli rumah biarpun dengan harga rumah yang dijangka akan terus turun.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong, ini kerana pembeli harus terlebih dahulu menilai kemampuan mendapatkan pinjaman perumahan.
Ia bagi memastikan tidak berlaku bebanan hutang melampau.
Beliau berkata HBA sudah menjangka trend penurunan harga rumah susulan harga penawaran yang melampaui kemampuan pembeli.
Tambah Kim Loong, 2016 bakal menyaksikan diskaun harga rumah lebih tinggi berbanding tahun ini.
“Jangan terburu-buru apabila membeli rumah. Tahun ini sahaja banyak diskaun ditawarkan dan tahun depan ia dijangka meningkat.
“Periksa dahulu dengan institusi kewangan status kewangan anda untuk mendapatkan pinjaman. Jangan terperangkap untuk membeli rumah tetapi permohonan pinjaman tidak diluluskan oleh bank,” kata Kim Loong dalam rakaman temubual bersama Astro AWANI.
Beliau pada masa berkata wujud pembeli yang terlebih melabur dengan membeli terlalu banyak unit berbanding kemampuan.
Ini menjadikan mereka gagal memenuhi komitmen pinjaman sekaligus rumah dilelong.
“Terdapat ramai di luar sana yang membeli hartanah di luar kemampuan. Apabila bayaran tempahan menurun, mereka terus membeli dan menjual hartanah tanpa memikirkan risiko.
“Sekarang mereka terpaksa menanggung bebanan apabila pinjaman tidak diluluskan. Apabila mereka berlabur secara berlebihan dan tidak mampu membayar balik kepada bank, hartanah mereka terpaksa dilelong kepada bank,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pembeli untuk melihat pada pasaran sekunder atau rumah terpakai sebelum melihat kepada projek perumahan baru.
Menurutnya, pembeli boleh menikmati banyak penjimatan menerusi rumah terpakai.
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan pemilik kondominium mewah di Kuala Lumpur mencari peluang menjual hartanah di bawah harga pasasan susulan sewaan yang rendah dan keadaan ekonomi semasa.
#Chang Kim Loong #HBA #rumah
;