Hasrat Malaysia bekerjasama dalam pembangunan ibu negara baharu Indonesia disambut baik - Tengku Zafrul

Bernama
November 12, 2021 22:22 MYT
Tengku Zafrul berkata sektor yang diberi tumpuan buat masa ini adalah infrastruktur dan bagaimana Malaysia dapat membantu dari segi teknikal dan juga pelaburan. - Gambar fail
JAKARTA: Komuniti perniagaan Indonesia menzahirkan rasa gembira dengan keinginan syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama dalam pembangunan ibu kota baharu negara itu di Kalimantan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata sektor yang diberi tumpuan buat masa ini adalah infrastruktur dan bagaimana Malaysia dapat membantu dari segi teknikal dan juga pelaburan.
"Kerajaan telah membuka laluan kepada mereka (sektor swasta) supaya mereka diberi peluang.
"Jadi terpulanglah kepada syarikat-syarikat swasta tentang bagaimana mereka dapat berinteraksi dan melibat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan di sini," kata Tengku Zafrul kepada pemberita di sini, hari ini.
Kerajaan Indonesia sedang membangunkan dan bakal memindahkan ibu kota baharunya dari Jakarta ke Kalimantan Timur pada 2024.
Dalam pertemuan dengan Presiden Joko Widodo di Istana Bogor Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata Malaysia sedia berkongsi pengalaman dengan Indonesia bagi pembangunan ibu kota baharunya di Kalimantan dan menawarkan kerjasama daripada syarikat tempatan dalam projek mega itu.
Tengku Zafrul berkata komuniti perniagaan Indonesia melihat ekonomi dan dasar kerajaan Malaysia kekal stabil dan terbuka meskipun berlaku beberapa kali perubahan kepimpinan.
"Mereka juga dapat lihat syarikat kita masih meneruskan pelaburan di sini," jelasnya.
Antaranya, katanya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd, Perbadanan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang telahpun memulakan pelaburan lebih giat kerana ada peluang untuk berkerjasama dengan Indonesia dan membuat pelaburan di sini.
Pada Suku Kedua tahun ini, pelaburan Malaysia di Indonesia berjumlah US$12.53 billion manakala pelaburan Indonesia di Malaysia adalah sebanyak US$1.16 billion.
Pada Rabu, empat memorandum persefahaman dan perjanjian ditandatangani antara syarikat Malaysia dan Indonesia yang akan membawa pelaburan ke Indonesia bernilai US$3.1 bilion.
Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah US$15.67 billion pada 2020.
Tengku Zafrul yang berada di Jakarta menyertai delegasi lawatan Perdana Menteri ke negara itu turut mengadakan mesyuarat dengan komuniti perniagaan serta beberapa menteri kabinet Indonesia termasuk rakan sejawatnya, Sri Mulyani Indrawati.
-- BERNAMA
#Tengku Zafrul #ibu negara baharu indonesia #syarikat Malaysia #Kalimantan Timur
;