Hasil sektor perkhidmatan meningkat 7.6 peratus pada suku ketiga 2023 - Perangkaan
Bernama
November 9, 2023 14:08 MYT
November 9, 2023 14:08 MYT
KUALA LUMPUR: Hasil sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus tahun ke tahun kepada RM584.0 bilion pada suku ketiga 2023, dirangsang oleh prestasi yang menggalakkan bagi semua segmen di bawah sektor itu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus pada suku kedua tahun ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan ketara dicatatkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit; serta makanan dan minuman serta penginapan yang meningkat RM28.7 bilion kepada RM446.6 bilion.
"Ini diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan yang meningkat RM7.2 bilion atau 9.8 peratus); segmen profesional, hartanah serta pentadbiran dan khidmat sokongan (RM3.1 bilion; 9.4 peratus) dan segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan dan rekreasi dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (RM2.2 bilion; 12.3 peratus," katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan mengenai Prestasi Sektor Perkhidmatan dan Pendapatan E-dagang, Suku Tahun Ketiga 2023 yang dikeluarkan hari ini.
Dari segi analisis perbandingan suku tahun ke suku tahun, jumlah hasil sektor perkhidmatan pada suku ketiga 2023 merekodkan kenaikan 2.8 peratus atau RM15.8 biion berbanding suku tahun sebelumnya, katanya.
Mohd Uzir berkata jumlah pekerja dalam sektor ini seramai 4.4 juta orang, meningkat 79,400 orang atau 1.8 peratus tahun-ke-tahun.
"Kenaikan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit dengan peningkatan sebanyak 37,200 orang atau 1.9 peratus, diikuti subsektor pengangkutan dan penyimpanan (15,000 orang; 4.2 peratus)," katanya.
Beliau berkata bagi suku tahun ke suku tahun, jumlah pekerja berkembang 0.6 peratus, meningkat 24,400 orang.
Mengenai pendapatan e-dagang, Ketua Perangkawan berkata e-dagang mencatatkan nilai sebanyak RM289.5 bilion iaitu bertumbuh 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2023.
Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan e-dagang meningkat sebanyak 3.2 peratus, katanya.
Mohd Uzir berkata gaji dan upah yang dibayar mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.1 bilion atau 3.6 peratus tahun ke tahun.
"Kenaikan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit dan pengangkutan dan penyimpanan yang masing-masing bertambah sebanyak RM400 bilion dan RM200 bilion masing-masing," katanya.
-- BERNAMA