Hartanah: Pemulihan ekonomi konsisten, pacu sentimen pembelian - REHDA

Harits Asyraf Hasnan
Mac 30, 2021 15:53 MYT
Ekonomi Malaysia diunjur akan terus pulih secara konsisten sekali gus memacu sentimen pembelian, Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemaju perumahan dan hartanah optiomis berkenaan unjuran industri hartanah di Malaysia pada separuh kedua 2021 berbanding separuh pertama tahun ini.
Ia selepas ekonomi Malaysia dijangka terus pulih secara konsisten sekali gus memacu sentimen pembelian, lapor Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
Presidennya, Datuk Soam Heng Choon berkata, program vaksinasi COVID-19 global akan memulihkan unjuran ekonomi negara yang akan turut memberi kesan kepada sektor hartanah tempatan.
"Dengan lebih banyak negara pulih daripada COVID-19, perdagangan kita akan bertambah baik dan memacu ekonomi.
"Apabila ekonomi pulih dengan lebih meluas, pasaran hartanah juga akan turut pulih," katanya dalam taklimat media hari ini.
Menerusi kajian melibatkan 134 responden oleh REHDA mendapati 20 peratus responden optimis terhadap prestasi pasaran dan jualan hartanah bagi separuh kedua 2021, berbanding lapan peratus pada separuh pertama.
Kajian itu turut menunjukkan 26 peratus responden optimis pertumbuhan jualan kediaman pada separuh kedua 2021 berbanding hanya lapan peratus pada separuh pertama.
BACA: Jualan hartanah meningkat: Ini fakta yang perlu anda tahu
#program vaksinasi #COVID-19 #Malaysia #ekonomi #Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia #REHDA #perumahan #pertumbuhan ekonomi
;