Hartalega catat kerugian bersih RM218 juta
Bernama
Mei 9, 2023 19:19 MYT
Mei 9, 2023 19:19 MYT
KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM218.04 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 berbanding keuntungan bersih RM3.23 bilion yang direkodkan pada tahun kewangan 2024.
Perolehannya bagi tahun yang dikaji susut kepada RM2.40 bilion daripada RM7.89 bilion setahun lalu, di tengah-tengah tekanan semasa dan situasi lebihan bekalan dalam sektor sarung tangan, kata Hartalega dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa.
Melalui satu kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata keadaan pasaran sekarang yang sukar pada tahun kewangan 2023 terus menjejaskan keuntungannya.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong menjelaskan Hartalega bertuah kerana memiliki pengalaman selama lebih tiga dekad sehingga mampu mengharungi badai semasa dan cabaran masa depan yang sudah pasti akan memberi kesan kepada sektor berkenaan.
"Persaingan global yang memuncak dalam sektor pembuatan sarung tangan menuntut kami menyesuaikan diri termasuk mengembangkan strategi pertumbuhan syarikat bagi mengekalkan tonggak kami. Oleh itu, kami telah memulakan Pelan Strategik lima tahun untuk memastikan kemampanan perniagaan jangka panjang kumpulan," katanya.
Pelan strategik itu melibatkan rasionalisasi operasi dengan penyahtauliahan kemudahan Bestari Jaya kumpulan untuk meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan kos.
Semalam, kumpulan itu mengumumkan rancangannya untuk menghentikan pengeluaran di empat kilang di Bestari Jaya sebagai sebahagian daripada langkah rasionalisasi operasinya yang berterusan.
"Pihak pengurusan telah mengkaji semula jumlah harta, loji dan peralatan, modal kerja dalam kemajuan dan aset tidak ketara serta telah mengiktiraf kerugian rosotnilai sebanyak RM 347 juta pada tahun kewangan 2023.
"Kumpulan itu dijangka mengiktiraf peruntukan selanjutnya bagi kos pemberhentian kerja dan perbelanjaan obligasi kontrak kira-kira RM70 juta pada tahun kewangan 2024," kata kumpulan itu.
Kuan berkata walaupun rasionalisasi kapasiti dalam sektor itu dijangka berterusan, halangan yang dihadapi sektor berkenaan berkemungkinan akan berterusan dalam jangka pendek hingga sederhana.
"Selain ketidakseimbangan pasaran, pengeluar sarung tangan juga berhadapan dengan persekitaran kos operasi yang lebih tinggi, dengan tekanan terhadap margin operasi semakin bertambah," katanya.
Prestasi kumpulan juga dipengaruhi oleh harga jualan purata dan jumlah jualan yang lebih rendah disebabkan oleh keadaan lebihan bekalan global serta pelarasan inventori rantaian bekalan yang berterusan, selain pengurangan penggunaan pengeluaran termasuk kos operasi yang lebih tinggi seperti tenaga dan kos buruh.
-- BERNAMA