Hari Jualan Dalam Talian ASEAN 2022 berlangsung bulan depan

Bernama
Julai 15, 2022 09:50 MYT
Acara ini mengandungi dua peringkat iaitu untuk transaksi domestik dan rentas sempadan.
HANOI: Hari Jualan Dalam Talian ASEAN 2022 dijadualkan diadakan dari 8 hingga 10 Ogos sempena ulang tahun penubuhan ASEAN ke-55, menurut Agensi E-dagang dan Ekonomi Digital Vietnam.
Program tahun ini akan dipengerusikan secara bersama Pengerusi ASEAN 2022 Kemboja bersama Singapura dan Vietnam, lapor Agensi Berita Vietnam.
Hari jualan itu adalah acara beli-belah dalam talian pertama yang akan dijalankan secara kolektif dan dianjurkan setiap tahun sejak 2020.
Ia menawarkan peluang yang baik kepada perusahaan di seluruh ASEAN untuk mempromosi produk mereka dan meningkatkan jualan melalui e- dagang di rantau ini.
Acara ini mengandungi dua peringkat iaitu untuk transaksi domestik dan rentas sempadan.
Selain itu perniagaan dan platform e-dagang di 10 negara ASEAN akan melancarkan satu siri program beli-belah dengan diskaun khas kepada pengguna di negara itu.
Syarikat-syarikat dan platform akan menyelaraskan pelaksanaan program beli-belah dalam talian rentas sempadan dalam kalangan negara ASEAN.
Dalam konteks pemulihan ekonomi pasca pandemik dan penyertaan dalam perjanjian perdagangan bebas generasi baharu, Hari Jualan Dalam Talian ASEAN 2022 akan menjadi langkah penting untuk ASEAN menunjukkan perpaduan dan mempromosi potensinya untuk e-dagang dan transaksi dalam talian, mengakses dasar yang menggalakkan, meningkatkan nilai produk dan perkhidmatan syarikat.
-- BERNAMA
#Hari Jualan Dalam Talian ASEAN #E-dagang #transaksi dalam talian #transaksi domestik dan rentas sempadan
;