Harga simen, besi terus catat peningkatan pada Januari 2023 - DOSM

Dagang News
Februari 8, 2023 10:00 MYT
Peningkatan harga bahan mentah dan arang batu serta kos penghantaran yang lebih tinggi adalah penyumbang utama kenaikan harga dalam pasaran simen di Malaysia. - Dagang News
PUTRAJAYA: Indeks harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, besi dan bahan bumbung di seluruh negara terus menunjukkan peningkatan pada Januari 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit simen meningkat 2.6% pada Januari 2023 berbanding Disember 2022, peningkatan tiga bulan berturut-turut.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan harga bahan mentah dan arang batu serta kos penghantaran yang lebih tinggi adalah penyumbang utama kenaikan harga dalam pasaran simen di Malaysia.
Indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan 1% berbanding Disember 2022, seiring dengan peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global, tambah Mohd Uzir dalam kenyataannya untuk laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), semalam.
"Menurut Trading Economics, harga besi dijangka akan meningkat.
Ini berikutan pemulihan aktiviti kilang China pada Januari selepas penguncupan tiga bulan berturut-turut seperti yang dilaporkan oleh The China National Bureau of Statistics Manufacturing Purchasing Manager Index.
"Selain itu, penamatan dasar sifar COVID-19 di China dan pelbagai inisiatif untuk merangsang aktiviti pembinaan dijangka memperkukuh sektor hartanah dan permintaan perumahan.
"Jangkaan ini seterusnya akan meningkatkan permintaan untuk input pembinaan dan perindustrian yang menggunakan bahan daripada bijih besi serta besi," tambahnya.
Memetik kenyataan Persatuan Keluli Dunia melalui Tinjauan Jangka Pendek (SRO) bagi 2022 dan 2023, dilaporkan permintaan besi pada tahun ini dijangka merekodkan pertumbuhan sebanyak 2.2%.
Tambahan pula, Tinjauan Keluli Global 2023 terbitan Fitch Ratings menjangkakan pertumbuhan tambahan dalam penggunaan keluli pada 2023 bagi pasaran seperti India, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS).
Laporan itu juga menyatakan bahawa antara faktor yang mempengaruhi penawaran dan permintaan jangka pendek dalam pasaran keluli termasuk evolusi pasaran hartanah China dan pelonggaran penutupan di negara itu.
Isu geopolitik seperti tekanan perdagangan berterusan akibat perang di Ukraine dan sekatan terhadap Rusia serta ketegangan perdagangan AS-China mungkin akan turut memberi kesan kepada pasaran keluli.
Perbandingan tahun ke tahun indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan antara 0.7% hingga 11.4% pada Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Indeks harga bagi seunit bagi besi dan simen masing-masing meningkat 1.4% dan 9.3% bagi Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Mohd Uzir menambah, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan 'Mycon 60 high tensile deformed bars' adalah RM3,599.37 atau meningkat 0.7% bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya.
"Purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan peningkatan 3.4% atau RM21.66 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM20.95 bagi setiap 50 kilogram pada Disember 2022.
"Manakala, purata harga pasir kekal tidak berubah iaitu RM36.32 satu tan metrik," katanya. – DagangNews.com
#harga simen #Mohd Uzir Mahidin #bahan bumbung #DoSM
;