Harga rumah tidak akan jatuh - Pakar ekonomi

Isabelle Leong
September 15, 2020 17:26 MYT
Untuk rekod, setakat akhir 2019, jumlah unit hartanah yang disiapkan dan tidak terjual bernilai RM41.5 bilion melibatkan hampir 57,000 unit. - gambar hiasan
Harga hartanah tidak akan jatuh meskipun berlaku kelembapan dalam pasaran susulan kelemahan ekonomi.
Sebaliknya, Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata harga hartanah akan terus meningkat disebabkan harga tanah yang tidak menunjukkan penurunan.
"Tiada kawasan di Kuala Lumpur, Selangor atau Pulau Pinang di mana harga tanahnya jatuh.
"Harganya sebenarnya meningkat. Mungkin terdapat peningkatan harga sebanyak dua hingga tiga peratus di beberapa kawasan. Mungkin terdapat lima hingga enam peratus atau lapan hingga 10 peratus peningkatan harga di kawasan lain.
"Jadi saya tidak bersetuju dengan sesetengah pihak yang berkata harga hartanah akan jatuh. Harga tanah tidak merudum. Sebaliknya, ia masih terus meningkat," katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan 2020 di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur pada Selasa.
Tambah, Shan, ini adalah masa yang sesuai untuk rakyat Malaysia membeli hartanah memandangkan nilai yang stabil berbanding negara jiran.
"Sudah tentu saya rasa ia tindakan yang baik.
"Harga hartanah di Malaysia masih terbaik di rantau ini jika dibandingkan dengan Vietnam, Thailand atau Filipina.
"Pasaran hartanah Malaysia masih merupakan pilihan yang menarik bagi pelabur yang bijak," katanya.
Selain itu, katanya, permintaan pelabur asing terhadap hartanah di Malaysia masih menunjukkan trend stabil.
Ini kerana pelabur dari Eropah dan China terus melihat Malaysia sebagai destinasi pasaran hartanah yang sangat menarik.
Untuk rekod, setakat akhir 2019, jumlah unit hartanah yang disiapkan dan tidak terjual bernilai RM41.5 bilion melibatkan hampir 57,000 unit.
Menurut kajian Pusat Maklumat Harta Tanah Kebangsaaan (NAPIC), sejumlah besar unit tidak terjual adalah segmen perumahan bertingkat melibatkan harga di atas RM500,000.
#harga meningkat #hartanah #Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI #merudum #NAPIC #pasaran hartanah #Pusat Maklumat Harta Tanah Kebangsaaan #Shan Saeed #trend stabil
;