Harga Proton X50 bermula RM79,200 hingga RM103,300

Afiezy Azaman
Oktober 27, 2020 13:21 MYT
Model terbaharu Proton X50 dilengkapkan dengan sistem bantuan pemanduan lanjutan yang dapat mengurangkan kadar kemalangan akibat kecuaian manusia.
KUALA LUMPUR: Model Proton X50 yang sejak sekian lama menjadi perbincangan rakyat Malaysia akhirnya dilancarkan secara rasmi menerusi laman Facebook rasmi Proton Holdings Bhd (Proton), pada Selasa.
Syarikat pengeluar kereta tanah air itu mengumumkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak itu ditawarkan pada harga bermula RM79,200 untuk varian paling asas.
Terdapat empat varian dalam segmen SUV itu dengan varian Standard ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM79,200, manakala Executive RM84,800, Premium (RM93,200) dan varian tertinggi Flagship pula bermula RM103,300.
Menurut Proton, model itu didatangkan dengan beberapa pilihan warna iaitu snow white, armour silver, jet grey, ocean blue, passion red dan citric orange.
Enjin yang dibangunkan Zhejiang Geely Holdings Group Co Ltd (Geely) dan Volvo Cars itu dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo manakala varian flagship dikuasakan enjin 1.5 liter TGDI dan digandingkan bersama transmisi 7-kelajuan DCT.
Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi sehingga enam beg udara, kamera undur, kamera 360 darjah untuk varian premium dan flagship serta advanced driver assistance system yang ditawarkan untuk varian flagship sahaja.
Proton X50 turut menerima penarafan lima bintang oleh ASEAN NCAP.
Model berkenaan juga didatangkan dengan paparan skrin sentuh bersaiz antara lapan hingga 10.25 inci mengikut varian dan boleh dihubungkan dengan internet menggunakan eSim.
Antara ciri baharu menarik lain yang ditawarkan ialah pengguna boleh menghidupkan enjin dan penyaman udara di telefon pintar mereka menggunakan aplikasi PROTON Link.
BACA: Eksklusif: Spesifikasi penuh Proton X50
#X50 #Proton X50 #Proton #SUV #model #beg udara #kamera undur #kamera 360 darjah
;