Harga MSM dilihat tidak mampu bertahan pada paras RM5,000 - Penganalisis
Dagang News
Oktober 20, 2021 07:08 MYT
Oktober 20, 2021 07:08 MYT
KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus kekal kukuh sehingga suku pertama 2022 meskipun ia mungkin tidak mampu bertahan pada paras RM5,000 satu tan metrik.
Maybank Investment Bank (IB) Research berkata, keadaan ini disebabkan kekangan bekalan di sebalik ketidaktentuan pengeluaran pada suku keempat dan musim yang rendah.
Katanya, harga MSM berlegar pada purata RM4,206 satu tan metrik setakat 11 Oktober berbanding anggarannya sekitar RM3,500 satu tan metrik bagi tahun ini
"Harga MSM melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada tahun ini berikutan inventori yang rendah di Malaysia, permintaan kembali meningkat apabila ekonomi dibuka semula dan pengeluaran yang lebih rendah.
"Malah, harga MSM melepasi paras RM5,000 satu tan metrik pada Oktober, terutama menjelangnya musim perayaan di India ," katanya dalam nota kajian pada Isnin.
Kontrak penanda aras, Disember 2021 buat pertama kali melepasi paras RM5,000 satu tan pada 13 Oktober lalu untuk ditutup pada paras RM5,021 satu tan apabila stok simpanannya terhad selain langkah kerajaan India mengurangkan duti import komoditi itu.
Isnin lalu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Ahmad Parveez Ghulam Kadir dalam seminar Pointers on Price Trends Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) secara maya berkata, pengeluaran dan eksport MSM dijangka mampan pada 2022.
Keadaan itu disokong oleh perkembangan positif dalam situasi COVID-19, prospek minyak dan lemak global yang lebih baik dan dasar perdagangan yang menggalakkan di negara-negara pengimport
Situasi itu merupakan kesinambungan daripada peningkatan yang dilihat menjelang akhir 2021 apabila pengeluaran dan eksport dijangka menunjukkan peningkatan tahun ke tahun, sekali gus menjadikan paras stok lebih terurus dan menyebabkan pembetulan dalam harga MSM.
Berdasarkan situasi tersebut, harga MSM pada 2021 dijangka kekal tinggi pada purata RM4,100 satu tan.
Menurut Maybank IB, dengan kenaikan harga MSM ini, syarikat perladangan sewajarnya menyaksikan aliran tunai yang kukuh sekiranya ia digunakan secara berhemah seperti mengurangkan hutang dan menguruskan perbelanjaan modal (capex) dengan sederhana, dapat menyokong peningkatkan metrik kredit.
"Dalam hal ini, kami menjangkakan sekurang-kurangnya prospek yang positif atau potensi penarafan dinaik taraf untuk Bumitama Agri Ltd. dan kemungkinan penarafan TSH Resources Bhd. juga dinaik taraf semasa tinjauan tahunan bagi menambah baik metrik kredit mereka.
"Bagaimanapun, kami tidak menjangkakan sebarang perubahan penarafan dan prospek bagi Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) dan First Reseources Ltd. (FRL) kerana rintangannya adalah lebih besar bagi syarikat yang dinilai tinggi untuk beralih kepada penarafan lebih tinggi," jelasnya.
Sementara itu, CGS-CIMB yang turut menyertai seminar Pointers itu turut mengumpul data-data yang dikeluarkan penganalisis mengenai sejauh mana kenaikan harga MSM akan terus bertahan.
Firma itu mendapati, kekangan bekalan dijangka berterusan dalam tempoh terdekat manakala harga MSM akan menurun daripada paras RM5,118 satu tan metrik kepada purata sekitar RM4,100 satu tan metrik pada tahun ini.
"Ramalan penurunan harga MSM ini bergantung pada pemulihan bekalan harga minyak boleh dimakan memandangkan peladang meningkatkan penanaman berikutan harga yang menarik.
"Trend harga yang diramal ini juga adalah seiring dengan pandangan kami," katanya.
CGS-CIMB bagaimanapun mengekalkan pandangan 'neutral' ke atas sektor perladangan dengan saranan 'tambah' ke atas saham KLK, Wilmar International dan FRL dengan harga sasaran masing-masing pada RM22.49, S$6.15 dan S$1.67.
Artikel asal di DagangNews.com