KUALA LUMPUR : Krisis Rusia-Ukraine akan menyaksikan lebih banyak impak terhadap ekonomi global terutamanya dalam fasa pemulihan akibat pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ini memandangkan kedudukan Rusia sebagai salah sebuah negara pengeluar dalam pelbagai lapangan industri.

“Kita dapat melihat kesannya kepada harga minyak mentah dunia ketika ini yang telah melepasi harga AS$100 setong. Perkara itu amat berkait rapat tentang Rusia itu sendiri sebagai sebuah negara pengeluar utama minyak dan gas.

“Kalau kita lihat dari segi data rizabnya, Rusia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber semulajadi dan sudah tentu jika berlaku sebarang bentuk konflik sedemikian rupa akan memberi kesan terhadap kelancaran dalam pergerakan harga minyak di serata dunia,” jelasnya kepada Astro AWANI.

Krisis Rusia-Ukraine: Apa punca sebenar dan perkembangan terkini

Impak perang Rusia-Ukraine ke atas ekonomi

Tambahnya lagi, kesan terhadap ekonomi mikro seperti inflasi adalah kebimbangan dalam menghadapi konflik peperangan yang berlaku ketika ini membabitkan kedua-dua negara tersebut.

Malah lebih dari itu katanya momentum prospek pemulihan ekonomi global juga akan berkemungkinan terjejas.

Kebarangkalian itu jelas Afzanizam amat bergantung selama mana krisis Rusia-Ukraine itu berlangsung.

Walau bagaimanapun Malaysia mungkin sedikit terselamat daripada berdepan dengan kesan inflasi memandangkan statusnya sebagai sebuah negara pengeksport minyak.

“Inflasi ini saya kira dapat ditangani kerana kerajaan masih lagi memberi komitmen untuk memberikan subsidi bahan api. Dengan pengekalan subsidi bahan api tersebut saya kira kesan inflasi akibat kenaikan harga minyak itu sedikit terkawal.

“Dari segi harga minyak dunia ini ia agak sinonim dengan Malaysia kerana kita pengeksport bersih. Sepatutnya harga minyak tinggi ini akan memberi manfaat kepada ekonomi negara,” jelasnya lagi.