Harga minyak sawit mentah boleh cecah RM3,200 satu tan
Najib Aroff
Oktober 14, 2020 16:37 MYT
Oktober 14, 2020 16:37 MYT
KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah boleh mencecah sehingga RM3,200 satu tan menjelang akhir tahun ini selepas China bersetuju menambah pembelian 1.7 juta tan minyak sawit Malaysia sehingga 2023.
Menurut Pedagang Minyak Sawit Icebergx Sdn Bhd, David Ng, harga komoditi itu juga akan kekal tinggi sekiranya pembelian minyak sawit oleh India terus kukuh bergerak ke tahun hadapan.
"China membeli sejumlah 250,000 tan minyak sawit mentah dari Malaysia setiap bulan, justeru laporan (menambah pembelian) itu akan memberikan kesan positif kepada pasaran.
"Harga akan terus dipacu asas utama seperti kadar pengeluaran pada suku terakhir tahun ini.
"India juga memainkan peranan penting kerana ia pasaran yang besar. India kini mempunyai inventori (minyak sawit) yang rendah di pelabuhan mereka dan mereka akan perlu menambah jumlah ini.
"Justeru saya yakin permintaan dari India akan bertambah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
David berkata, harga minyak sawit yang tinggi itu sekali gus akan menyokong peladang kecil dari segi pendapatan bulanan mereka.
"Jika harga terus disokong (oleh permintaan tinggi), sudah tentu faedahnya akan diraih peladang kecil," katanya.
Meskipun harga sawit mentah yang tinggi memberikan kelebihan kepada peladang kecil dan pasaran namun ia berbeza untuk kutipan kerajaan.
"Kerajaan mengumumkan pengecualian duti eksport minyak sawit dan ini mengurangkan pendapatan kerajaan.
"Apabila kerajaan memperkenalkan kembali duti itu tahun hadapan, kadar permintaan mungkin akan melemah kembali," katanya.
David berkata, situasi penularan COVID-19 banyak menjejaskan permintaan minyak sawit mentah dan selagi vaksin tidak ditemui dan tersedia kepada awam, kadar permintaan minyak sawit mentah masih tidak menentu.
Menurut data Majlis Minyak Sawit Malaysia, China mengimport sejumlah 1.8 juta tan minyak sawit mentah dari Januari hingga Ogos 2020.
Harga minyak sawit mentah untuk kontrak niaga hadapan bagi Oktober dan November 2020 mencecah RM3,067 dan RM3,054 satu tan.
#harga kelapa sawit
#kelapa sawit
#Icebergx Sdn Bhd
#David Ng
#minyak
#India
#China
#harga minyak
#Astro Awani
#Malaysia
#COVID-19