Harga minyak rendah, pekerja minyak dan gas sengsara
Pritha Manivannan
Januari 22, 2016 18:36 MYT
Januari 22, 2016 18:36 MYT
Meskipun orang ramai gembira dengan penurunan harga minyak mentah, yang mengakibatkan harga minyak di pam turun, namun bagi sesetengah rakyat Malaysia ia suatu beban.
Ini terutamanya bagi mereka yang bekerja di sektor minyak dan gas.
Penyusutan harga minyak tidak hanya memberi kesan kepada pendapatan kerajaan tetapi turut dirasai pekerja minyak dan gas.
Ada antara mereka yang sudahpun diberhentikan syarikat minyak dan gas.
Petronas dalam kenyataan baru-baru ini mengumumkan akan meneliti semula status pekerja, gaji dan tempoh bekerja kakitangannya.
Di peringkat antarabangsa kebanyakkan syarikat besar seperti Shell, BP dan Technip mula melakukan pembuangan pekerja.
Pekerja di Labuan Merana
Di Labuan, salah seorang pekerja minyak dan gas yang enggan namanya didedahkan berkata syarikat seperti Schlumberger sudahpun memulakan proses pembuangan pekerja susulan kesan penyusutan harga minyak bermula 2015.
Responden yang ditemubual Astro AWANI merupakan salah seorang yang dibuang kerja.
“Alasan yang diberikan syarikat harga minyak menyusut dan mereka terpaksa mengurangkan pekerja.
“Seramai enam orang dibuang kerja hari yang sama saya dibuang kerja. Keesokkan harinya, tiga orang dibuang kerja. Dua hari sebelum ini pun masih ada pembuangan. Seramai 10 orang dibuang kerja dari bahagian saya,” katanya.
Selepas dibuang kerja beliau melakukan pelbagai kerja lain termasuk memandu lori sebelum kembali memasuki sektor minyak dan gas dengan sebuah syarikat tempatan.
Dengan kos sara hidup yang tinggi, beliau berkata kehidupannya berdepan cabaran dan terpaksa melakukan dua kerja bagi menampung perbelanjaan sekeluarga.
“Contohnya dulu saya boleh bawa anak-anak saya melancong. Sekarang ini susah. Kena berhati-hati dengan bajet.
“Kedua berkaitan dengan barang mainan. Kalau dulu, kereta alat kawalan jauh, basikal atau apa-apa pun, apabila mereka mahu, saya akan belikan. Sekarang ini saya terpaksa memberi tahu mereka bahawa kita kena tunggu hujung bulan dapat gaji baru boleh beli.
“Sebelum tidur malam saya kena berfikir macam mana saya boleh menjana pendapatan yang tidak akan jauh berbeza dari dulu," katanya.
“Saya hampir jual kereta saya tetapi tidak terjadi. Sewaktu saya mengambil keputusan untuk menjual kereta, kebetulan saya dipanggil satu syarikat untuk kerja baru. Tapi gaji dia tidak sebesar mana, RM800 sebulan sahaja.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menyimpan kereta itu. Sekiranya situasi masih sama, saya akan terpaksa jual kereta,” katanya.
Menurut beliau syarikatnya berkata, jika harga minyak meningkat, kemungkinan besar pekerja yang dibuang kerja akan diserap balik.
Dalam laporan terkini, Schlumberger melaporkan akan memotong lebih banyak pekerja susulan 'pembatalan projek secara mengejut dan tidak berjadual'.
Ia turut melaporkan kerugian US$1 bilion pada suku keempat 2015 dan dijangka membuang 10,000 pekerja daripada 95 ribu sedia ada.
Pemotongan terkini ini adalah di atas 24,000 pekerja yang diberhentikan sejak November 2014.
Syarikat Potong Kos Operasi
Felo Utama Sekolah Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia Datuk Dr John Antony Xavier, berkata pemain utama industri sedang memotong kos operasi dan kos perbelanjaan.
Ini seterusnya memaksa pemain kecil untuk mengikuti jejak langkah tersebut.
“Dengan situasi ekonomi yang tidak berapa stabil bagi sektor minyak dan gas, pemain utama membuat pemotongan kos dan syarikat-syarikat yang lain bergantung pada pemain utama.
"Ini kerana mereka membentuk sebahagian daripada rantaian bekalan dari segi perkhidmatan dan penyediaan peralatan dan mereka tidak mendapat keuntungan. Ini memaksa mereka melakukan pemotongan terutamanya dalam kos pekerja,” kata John.
Tambah beliau, harga minyak dijangka terus menyusut hingga akhir tahun dan mungkin hanya akan melihat peningkatan pada 2017.
#Datuk Dr John Antony Xavier
#Felo Utama Sekolah Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia
#Labuan
#minyak dan gas
#Petronas
#Schlumberger