Harga minyak lonjak pasaran saham tempatan
Bernama
Februari 9, 2021 10:43 MYT
Februari 9, 2021 10:43 MYT
KUALA LUMPUR: Saham-saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi Selasa, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah Brent serta berita baik berkenaan sokongan pelan rangsangan Amerika Syarikat (AS) yang mungkin dapat memberikan sentimen positif kepada pasaran tempatan.
Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.53 mata kepada 1,579.86 daripada 1,573.33 ketika ditutup sebelumnya.
Indeks utama dibuka 1.34 mata lebih tinggi pada 1,574.67.
Pergerakan harga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 306 berbalas 158 sementara 285 kaunter tidak berubah, 1,398 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 414.82 juta unit bernilai RM195.45 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, ia berkata harga minyak Brent telah melonjak melepasi paras AS$60 dan ini mampu memberikan nada positif kepada pasaran tempatan meskipun bursa akan menyaksikan sentimen dagangan yang berhati-hati menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
"Pelabur juga mungkin akan terus mengurangkan pendedahan masing-masing di pasaran bursa," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Firma itu juga menyatakan memandangkan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang semakin hampir, dan kes harian terus berada di bawah 4,000 untuk hari keempat, pelabur mungkin yakin akan berlakunya pemulihan dalam bergerak ke hadapan.
Minyak mentah antarabangsa Brent mengukuh 0.53 peratus dan diniagakan pada AS$60.88 setong.
Untuk fokus sektor urus niaga Selasa ini, firma pembrokeran itu berpendapat, saham tenaga dijangka menjadi pilihan pelabur disokong oleh pengukuhan harga minyak mentah sementara saham yang bertemakan pemulihan seperti penerbangan dan permainan boleh meneruskan aliran meningkat di celah-celah perkembangan vaksin.
"Untuk musim pengumuman pendapatan korporat yang akan datang ini, pelabur juga mungkin meletakkan diri mereka dalam kalangan sektor elektronik pengguna, perladangan, perabot dan teknologi," katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Tenaga masing-masing naik tiga sen kepada RM7.86 dan RM9.70, PBBank dan PChem masing-masing menambah satu sen kepada RM4.09 dan RM7.50, sementara Topglove tidak berubah pada RM6.27.
Saham paling cergas, DNex naik 3.5 sen kepada 40.5 sen dan warannya menambah setengah sen kepada tujuh sen, Luster turun setengah sen kepada 21.5 sen, Opcom meningkat 10 sen kepada 65.5 sen dan XOX naik satu sen kepada 8.5 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, MPI mengukuh 40 sen kepada RM36.54, PetDag naik 26 sen kepada RM19.60, CGB dan Telekom masing-masing meningkat 23 sen kepada RM1.48 dan RM6.73.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 45.17 mata kepada 11,524.56, Indeks FBMT 100 menambah 43.69 mata kepada 11,243.21 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 55.12 mata kepada 13,068.55.
FBM 70 lebih tinggi 47.90 mata kepada 15,097.24 dan FBM ACE meningkat 8.54 mata kepada 10,780.24.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 43.19 mata kepada 14,608.60, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.94 mata menjadi 179.0, dan Indeks Perladangan meningkat 12.01 mata kepada 7,134.74.
-BERNAMA
#Bursa Malaysia
#kenaikan harga minyak mentah Brent
#pelan rangsangan Amerika Syarikat
#sentimen positif
#pasaran tempatan
#FTSE Bursa Malaysia KLCI
#fbm klci
#COVID-19