Harga minyak diunjur naik akibat konflik Iran-Israel

Dagang News
April 17, 2024 14:00 MYT
Data terkini oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) menyaksikan Iran menyumbang 3% daripada jumlah pengeluaran minyak dunia. - Gambar hiasan/ Dagang News
KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent diunjur melonjak sehingga AS$95 setong berbanding sekitar AS$90 setong ketika ini berdasarkan jangkaan senario terburuk daripada konflik Iran-Israel.
Menurut AmInvestment Bank Research, unjuran ini berdasarkan andaian penurunan ketara dalam pengeluaran minyak Iran yang akan memaksa China untuk kembali ke saluran pasaran minyak yang rasmi untuk memenuhi permintaan dan mengubah laluan kapal melalui Tanjung Harapan, Afrika.
"Walaupun kami tidak menolak kemungkinan harga minyak mentah Brent didagangkan dalam julat AS$95-US$100/tong, kami percaya ini sebahagian besarnya berdasarkan berita dan sentimen," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut AmInvestment, senario kes asas pula mungkin menyaksikan harga minyak mentah Brent 2024 kekal pada AS$85/tong dan pemulihan perjalanan kargo menjelang 3Q2024.
Katanya, ini berdasarkan tiada lagi konflik berkenaan atau hanya berlaku peningkatan kecil dengan persekitaran geopolitik kekal sebagai status quo.
Pada masa sama, jelas firma itu, OPEC+ mungkin meningkatkan pengeluaran pada jumlah yang signifikan sebagai kapasiti ganti untuk mengekalkan bahagian pasarannya.
"Sebagai rujukan, Moody's Analytics baru-baru ini meletakkan harga dalam premium risiko AS$10/bbl yang lebih tinggi sebagai tindak balas kepada insiden konflik Iran-Israel," ujarnya.
Kata AmInvestment, data terkini oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) menyaksikan Iran menyumbang 3% daripada jumlah pengeluaran minyak dunia.
"Walaupun terdapat pelbagai sekatan primer dan sekunder ke atas minyak keluaran Iran, eksport minyak mentah negara itu kekal kukuh dengan purata Mac mencapai 1.61 juta tong sehari, tertinggi sejak Mei 2023, menurut penganalisis industri Kpler.
"Kebanyakannya dikatakan diimport oleh China; dimungkinkan melalui penggunaan laluan perdagangan minyak alternatif, kapal tangki ‘dark fleet’ dan status Petro-Yuan yang dikeluarkan baru-baru ini," jelasnya.
Sementara itu, firma itu berkata, terdapat potensi peningkatan pendapatan bagi pemain minyak dan gas daripada analisis senario terburuk konflik Asia Barat.
Katanya, bagi pengendali pelabuhan kekal berdaya tahan dengan konflik itu memberi kesan kepada pendapatan pada jumlah yang kecil.
"Mengambil kira harga minyak AS$95 setong akan menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 6% kepada Hibuscs Petroleum dengan harga jualan akan terus kekal kukuh sehingga sekurang-kurangnya 2QFY25F.
"Ini terutamanya untuk kluster Anasuria, yang mencatatkan harga jualan purata yang agak rendah iaitu AS$81.96/ setong berbanding aset pengeluaran lain," ujarnya.
Dialog pula bakal menyaksikan peningkatan pendapatan kecil sebanyak 1.2% jika harga minyak naik AS$95 setong manakala Westports mungkin mengalami sedikit penurunan pendapatan sebanyak 3% disebabkan oleh krisis Laut Merah yang berterusan, kata firma penyelidikan itu. - Dagang News
#harga minyak #Konflik Iran-Israel #ketegangan geopolitik #China
;