Harga makanan dijangka terus naik pada Ramadan, Aidilfitri

Agensi
Mac 27, 2023 16:31 MYT
Menurut CGS-CIMB Research, unjuran peningkatan berkenaan dibuat berdasarkan kepada lonjakan permintaan yang akan berlaku pada bulan tersebut. - Gambar hiasan
HARGA makanan dijangka terus meningkat semasa Ramadan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut CGS-CIMB Research, unjuran peningkatan berkenaan dibuat berdasarkan kepada lonjakan permintaan yang akan berlaku pada bulan tersebut.
Ujar firma itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa harga ayam meningkat sebanyak lapan peratus.
"Bagaimanapun, sub komponen makanan luar rumah menjadi sederhana kerana pelancaran Menu Rahmah oleh kerajaan yang merupakan inisiatif popular di seluruh negara untuk menggalakkan peniaga menjual makanan pada harga murah.
"Jadi untuk mengehadkan potensi kenaikan harga, maka kerajaan baru-baru ini melancarkan Jualan Rahmah iaitu inisiatif di bawah Payung Rahmah bermula 23 Mac hingga 22 April depan dengan menawarkan diskaun 40 peratus bagi lebih 150 barangan keperluan asas," katanya ,memetik laporan portal berita Dagang News pada Isnin.
Selain itu, CGS-CIMB menyatakan kerajaan juga bercadang untuk mengumumkan skim kawalan harga tempoh cuti sama seperti telah dilancarkan pada musim perayaan sebelum ini.
Pada Februari lepas, Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 0.2 peratus dari bulan ke bulan dan 3.7 peratus dari tahun ke tahun selain lebih tinggi dari jangkaan firma itu dan Bloomberg.
Bagi makanan dan makanan subkomponen di rumah adalah pemangkin utama meningkat 5.8 peratus didorong oleh subkumpulan daging (sembilan peratus) dan nasi (6.6 peratus).
Bagaimanapun, peningkatan lebih perlahan berlaku bagi kumpulan pengangkutan iaitu 3.7 peratus berbanding Januari lepas (empat peratus) sedikit sebanyak mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.
Firma itu mengekalkan unjuran inflasi negara pada paras tiga peratus pada tahun ini.
#CGS-CIMB Research #harga makanan #perayaan Hari Raya Aidilfitri #Jabatan Perangkaan Malaysia
;