Harga kontrak MSM dijangka turun

Bernama
Februari 2, 2013 13:01 MYT
Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives, yang mengakhiri dagangan minggu ini pada paras tinggi, mungkin turun minggu depan.
Pelabur Kanan Minyak Sawit Interband Group, Jim Teh berkata kegiatan mengambil untung akan muncul setelah minggu ini menyaksikan harga melonjak ke paras tertinggi masing-masing setakat ini tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, suasana keseluruhan kekal positif terutamanya dengan demam pilihan raya merangsang sentimen pasaran dan faktor-faktor luaran seperti langkah Indonesia menaikkan cukai eksport bagi minyak sawit dan jangkaan cuaca panas di Amerika Syarikat yang mungkin menjejaskan tanaman kacang soya.
Harga kontrak hadapan di Bursa Malaysia Derivatives dijangka berlegar pada sekitar RM2,200 hingga RM2,300 setan metrik minggu depan, katanya.
Berbanding minggu lepas, kontrak bulan semerta Februari 2013 melonjak RM129 kepada RM2,512 setan metrik, Mac 2013 naik RM115 kepada RM2,528 setan metrik, April 2013 meningkat RM112 kepada RM2,557 setan metrik dan Mei 2013 mengukuh RM102 kepada RM2,576 setan metrik.
Pasaran ditutup pada Isnin bagi perayaan Thaipusam dan Jumaat bagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 99,735 lot daripada 146,967 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 213,363 kontrak daripada 210,074 kontrak sebelumnya.
Dalam pasaran tunai, Februari Selatan meningkat RM120 kepada RM2,460 setan metrik.
#Bursa Malaysia Derivatives #kontrak #minyak sawit mentah #pelabur
;