Harga kereta Proton naik: Mampukah Proton kembali menjadi nombor satu?

Malik Ridhwan
Februari 2, 2016 19:30 MYT
Proton akan menaikkan harga bagi semua model kenderaannya berkuatkuasa 15 Februari depan. - Gambar fail
Proton Holdings Berhad digalakkan untuk meningkatkan kualiti kenderaan dan perkhidmatan jika berhasrat untuk kembali menjadi kereta nombor satu negara.
Pengarah Urusan Careta.my Hezery Samsury berkata, jualan luar negara Proton turut memainkan peranan dalam mengukuhkan kedudukan Proton dalam industri automotif tempatan.
Dalam temu bual bersama Astro AWANI Selasa, Hezery berkata ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun untuk Proton kembali menjadi nombor satu.
“Ini akan mengambil masa kerana Perodua telah menjual lebih daripada 100,000 unit berbanding Proton dan ini merupakan jurang yang sangat besar.
“Proton perlu meningkatkan jualan luar negara dan ini penting untuk mereka kekal berdaya saing. Malah, pasaran dalam negeri juga harus dijaga agar tidak ketinggalan,” kata Hezery.
Proton perlu tingkatkan jualan luar negara untuk mereka kekal berdaya saing.
Katanya untuk mendapatkan semula keyakinan daripada pengguna, Proton harus meningkatkan kecekapan terutamanya bagi perkhidmatan selepas jualan.
“Antaranya, pengenalan enjin baru. Ini akan membuatkan pengguna lebih teruja untuk membeli Proton. Kemudian perkenalkan model-model baru.
“Proton mesti melabur dengan mengadakan kempen untuk pembeli yakin kualiti perkhidmatan mereka dipertingkatkan. Contohnya, khidmat lepas jualan harus menjadi buah mulut supaya orang ramai tahu kualiti perkhidmatan Proton,” tambahnya.
Menurutnya, meskipun ekonomi global menghadapi kelembapan, beliau yakin momentum pembelian kereta di kalangan rakyat Malaysia akan berterusan.
“Kebanyakkan orang Malaysia akan terus membeli kenderaan terutamanya mereka yang mampu.
“Mungkin sebelum ini mereka merancang untuk membeli kenderaan yang lebih besar atau lebih mahal, tetapi oleh kerana keadaan ekonomi begini, ada kemungkinan mereka akan bertukar kepada sesuatu yang lebih berbaloi dengan tahap kemampuan,” katanya.
Proton Holdings Berhad pada Isnin mengeluarkan kenyataan tentang kenaikan harga bagi semua model kenderaannya berkuatkuasa 15 Februari ini.
Kenaikan harga membabitkan antara RM312 hingga RM2021 maksimum.
Kenaikan itu sejajar dengan kesan kejatuhan nilai matawang Ringgit di mana ia memberi kesan kepada kos operasi syarikat dan rantaian ekosistem secara keseluruhannya.
#Careta.my #Hezery Samsury #Proton
;