Harga kereta import dikurangkan berkuatkuasa 2016
Astro Awani
Februari 28, 2013 19:30 MYT
Februari 28, 2013 19:30 MYT
Berkuatkuasa 2016, harga bagi semua kereta yang di import dari Jepun dan Australia akan dikurangkan secara beransur-ansur selepas duti import kereta dari kedua negara berkenaan dihapuskan sepenuhnya.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, ia hasil liberalisasi automotif yang dipersetujui melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan kedua-dua negara itu.
Mustapa berkata, setakat ini duti import kereta dari Jepun adalah 15 peratus sementara dari Australia 13.6 peratus.
Katanya, kadar standard duti import bagi kereta import kini ditetapkan pada 30 peratus sementara cukai eksais ditetapkan antara 70 peratus hingga 105 peratus.
Jelas beliau, rundingan FTA kini menjadi antara langkah diambil kerajaan dalam menurunkan harga kereta import, iaitu menerusi penghapusan duti import.
Sementara itu Mustapa berkata pada suku ke empat 2012 harga kereta baru telah mula turun sebanyak RM2200 hingga RM17,000.
Menurut beliau, ia hasil pemberian rebat oleh pengeluar kereta sendiri.
Ujar Mustapa, selain penghapusan duti import kos bagi bekalan komponen dan pembuatan kenderaan akan turut dijimatkan.
Melalui cara itu ia akan sekaligus menurunkan harga kereta.
Katanya lagi liberalisasi industri automotif Malaysia secara berperingkat-peringkat akan menggalakkan pengeluar baru dan sedia ada untuk mengguna Malaysia sebagai hab pengeluaran bagi rantau ini, terutama kereta cepat tenaga.
Ditanya sama ada kerajaan merancang mengurangkan duti eksais, Mustapa memberitahu perbincangan sedang berjalan lancar.
Namun beliau menegaskan bahawa apa pun keputusannya, ia akan dilaksana secara berperingkat-peringkat.