Harga getah ditutup meningkat, jejak kenaikan harga minyak mentah

Bernama
Julai 12, 2024 22:08 MYT
Setakat jam 5 petang ini, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal di paras 777.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 650 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Getah Mutu Malaysia (SMR 20) mengakhiri dagangan minggu ini pada Jumaat dengan lebih tinggi seiring dengan kenaikan harga minyak mentah penanda aras global, kata peniaga.
Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selain kelemahan sentimen pasaran niaga hadapan getah ketika peniaga mula menerima impak peningkatan getah asli tempatan serta data ekonomi China yang bercampur-campur.
"Pasaran niaga hadapan getah Jepun susut pada hari ini selepas menyaksikan aliran kenaikan selama tiga hari berturut-turut, diasak oleh pengukuhan yen Jepun walaupun peningkatan harga minyak itu mengekang kerugian seterusnya," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pengeluaran getah asli meningkat sebanyak 20.1 peratus kepada 25,608 tan pada Mei 2024 daripada 21,325 tan pada bulan sebelumnya.
Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent menokok 0.82 peratus kepada US$86.12 setong.
Harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 menokok sebanyak 2.5 sen kepada 785 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 3.0 sen kepada 654 sen sekilogram.
Setakat jam 5 petang ini, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal di paras 777.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 650 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#harga minyak #LGM #peniaga #SMR 20