Harga emas dijangka sekitar AS$1,900 seauns menjelang akhir tahun - YXPM

Bernama
Mei 10, 2023 05:45 MYT
Harga emas fizikal berada pada AS$2,000.95 setiap troy auns, seperti yang diterbitkan oleh London Bullion Market Association pada 5 Mei, 2023. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: YX Precious Metals Bhd (YXPM), anak syarikat milik penuh Tomei Consolidated Bhd, menjangkakan harga emas bergerak sekitar AS$1,900-AS$2,001 seauns menjelang akhir tahun, dengan pasaran kewangan global dan cabaran geopolitik terus menjadi pemacu utama yang mempengaruhi harga komoditi itu.
Harga emas fizikal berada pada AS$2,000.95 setiap troy auns, seperti yang diterbitkan oleh London Bullion Market Association pada 5 Mei, 2023.
Pengarah Urusan YXPM Ng Sheau Chyn berkata krisis perbankan di Amerika Syarikat dan ketegangan geopolitik yang berpanjangan terus menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pelabur, terutamanya untuk jangka pendek dan sederhana.
"Bagaimanapun, kami akan terus mengembangkan rangkaian barang kemas daripada emas berongga dan kami juga mempertimbangkan kerjasama dengan (tukang emas) Turki dan Itali kerana kami belum melihat pengilang tempatan menawarkan produk jenis tersebut," katanya pada sidang akhbar sempena mesyuarat agung tahunan syarikat di sini semalam.
Ng berkata 90 peratus daripada pelanggannya adalah pemain domestik, manakala selebihnya adalah di luar negara.
YXPM yang disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia Bhd tahun lepas, mencatatkan keuntungan bersih RM9.4 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 (TK22), lebih tinggi daripada RM7.1 juta yang dicatatkan pada TK21.
Hasil bagi tahun dalam tinjauan juga meningkat kepada RM298.04 juta daripada RM265.38 juta pada TK21, disokong oleh peningkatan dalam jumlah jualan barang kemas berikutan permintaan yang lebih tinggi.
-- BERNAMA
#harga emas #2023 #YXPM #ekonomi dunia
;