Harga eksport Malaysia turun 0.5 peratus pada April 2023
Bernama
Mei 26, 2023 14:50 MYT
Mei 26, 2023 14:50 MYT
KUALA LUMPUR: Harga eksport Malaysia pada April 2023 mencatat penurunan 0.5 peratus kepada 141.9 mata daripada 142.6 mata pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam laporan Indeks Perdagangan Luar (2010=100) April 2023 yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu menyatakan indeks nilai seunit import turut susut 0.8 peratus kepada 128.2 mata daripada 129.2 mata.
Berikutan itu, terma perdagangan Malaysia menunjukkan kenaikan 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 110.7 mata pada April 2023.
"Indeks nilai seunit eksport turun 0.5 peratus pada April 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-4.3 peratus), barang-barang keluaran kilang (-0.3 peratus) dan minyak serta lemak binatang dan sayur-sayuran (-0.3 peratus)," katanya.
Menurut DOSM, indeks volum eksport merosot 18.3 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-29.3 peratus), minyak galian (-16.6 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-16.2 peratus).
"Indeks volum eksport pelarasan bermusim merosot 17.2 kepada 136.6 mata daripada 165.1 mata. Dari segi perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport menyusut 0.8 peratus, manakala indeks volum merosot 16.7 peratus," katanya.
Selain itu, indeks nilai seunit import turut menurun pada April 2023 dengan 0.8 peratus berikutan kejatuhan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-2.5 peratus), bahan kimia (-0.3 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-0.1 peratus).
Indeks volum import pula susut 9.4 peratus pada April 2023 berbanding bulan sebelumnya susulan penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-19.2% peratus), barang-barang keluaran kilang (-9.7 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (-8.1 peratus).
"Indeks volum import pelarasan bermusim menyusut 10.3 peratus daripada 175.6 mata kepada 157.5 mata.
"Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import jatuh 0.6 peratus manakala indeks volum merosot 10.4 peratus," katanya.
Dalam pada itu, DOSM berkata terma perdagangan Malaysia meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 110.7 mata pada April 2023, didorong oleh kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+3.9 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (+1.3 peratus) dan makanan (+0.3 peratus).
Terma perdagangan Malaysia turut menyusut 0.2 peratus tahun ke tahun daripada 110.9 mata pada April tahun lepas.
-- BERNAMA