Harga barang Ogos, Sept 2023 sama dengan 2022 jika inflasi terus turun - Rafizi

Ridauddin Daud
Jun 28, 2023 15:20 MYT
Rafizi berkata penstabilan harga melalui penurunan inflasi yang menyeluruh dan berterusan adalah sebahagian dari strategi menyeluruh kerajaan menangani kos sara hidup rakyat agar tidak membebankan. -Astro AWANI
PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berharap kadar inflasi negara akan terus kekal atau menurun bagi membolehkan harga barang pada Ogos dan September pada 2023 sama dengan harga barang bulan yang sama pada 2022.
Menurutnya, kadar inflasi sekarang jauh lebih baik berbanding ketika Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Perikatan Nasional (PN) pada hujung tahun lepas.
Tegas beliau, kadar inflasi pada waktu itu naik mendadak, daripada 2 peratus sehingga lebih 4 peratus.
Keadaan itu menyebabkan kenaikan harga barang dari satu bulan ke satu bulan yang lain.
"Bila inflasi dah berada pada tahap 2 ke 2.5 peratus, harga itu (barang) naik sedikit sahaja dan hampir sama dengan harga pada tahun lepas.
"(Jangkaan inflasi, adakah akan terus turun?) Saya harap begitulah. Kalau Mei kadarnya 2.8 peratus, harap akan kekal atau mula turun pada Ogos dan September.
"Bila dah sampai 2.5 peratus, harga pada Ogos dan September tahun ini sama dengan tahun lepas. Itu usaha yang kita buat dalam bantu rakyat dari segi kos sara hidup," katanya.
Tambah beliau, kadar inflasi Mei 2023 adalah yang terendah dalam setahun, mencerminkan trend harga yang semakin stabil berterusan.
"Penurunan inflasi bagi Mei 2023 juga menunjukkan kejatuhan menyeluruh merentas semua kategori perbelanjaan, menandakan penstabilan harga secara menyeluruh.
"Kadar inflasi yang stabil adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan agar ekonomi negara terus berkembang tanpa menyebabkan permintaan mendadak sehingga menyebabkan harga barang dan perkhidmatan tidak melonjak berterusan sehingga tidak terkawal," ujarnya.
Jelasnya, penstabilan harga melalui penurunan inflasi yang menyeluruh dan berterusan adalah sebahagian dari strategi menyeluruh kerajaan menangani kos sara hidup rakyat agar tidak membebankan.
#Rafizi Ramli #harga barang #kadar inflasi #Ogos dan September
;