Harga bahan binaan terus catat penurunan, MIDF Research positif dengan sektor pembinaan

Dagang News
November 11, 2022 11:20 MYT
MIDF Research menjangkakan margin terus bertambah baik pada suku keempat dan seterusnya, meskipun dipengaruhi kos buruh yang lebih tinggi. - Gambar hiasan/DagangNews.com
KUALA LUMPUR: Purata harga bar keluli di Malaysia merosot 1.6% bulan ke bulan kepada RM3,663.54 setiap tan pada Oktober 2022, menandakan penurunan buat bulan keempat berturut-turut, sejajar dengan pengurangan harga keluli di seluruh dunia yang terjejas akibat kebimbangan permintaan.
Namun, bagi asas tahun ke tahun, harga keluli masih meningkat 12.3%, tetapi pada kadar yang lebih perlahan sejak Mei 2021.
Pada masa sama, harga simen turut mencatat penurunan 0.5% bulan ke bulan kepada RM20.81 per 50 kilogram beg.
Menurut MIDF Research, walaupun harga bahan binaan masih kekal tinggi, tetapi ia memperlihatkan trend penurunan sejak beberapa bulan lalu, justeru, ia bukan satu risiko besar kepada sektor pembinaan.
Sebaliknya, firma itu menjangkakan margin akan terus bertambah baik pada suku keempat dan seterusnya meskipun dipengaruhi oleh kos buruh yang lebih tinggi.
"Ini berikutan masalah kekurangan pekerja asing kerana kontraktor membayar lebih untuk projek penting, tetapi kami menjangkakan keadaan ini akan bertambah baik pada masa hadapan kerana pembinaan adalah antara sektor yang dibenarkan untuk mengupah pekerja dari semua 15 negara sumber yang dibenarkan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan semalam menunjukkan seunit besi merekodkan penurunan 1.3% berbanding September 2022 dan mencatatkan penurunan dua bulan berturut-turut.
Selain itu, indeks harga seunit simen dan keratan keluli dan logam juga mencatatkan penurunan masing-masing 0.8%.
Terdapat bahan binaan lain yang kekal tidak berubah iaitu papan lapis bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak; kayu dan pasir bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Batu baur dan bahan siling juga kekal tidak berubah bagi semua kawasan di Sarawak.
Namun begitu, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan antara 3.7 hingga 12.1% pada Oktober 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun lalu.
Indeks harga bagi seunit bagi besi dan keratan keluli dan logam telah meningkat masing-masing 6.3% dan 6.4% bagi tempoh tersebut.
Secara keseluruhan, MIDF Research mengulangi pandangan 'positif' terhadap sektor pembinaan memandangkan ketidaktentuan kos masih terurus dan juga didorong pelancaran projek infrastruktur yang berpotensi di Malaysia.
Menurutnya, perkembangan positif itu dipacu pengeluaran tender bagi projek MRT3 menjelang akhir tahun ini.
"Prospek positif juga dapat dilihat di Sarawak terutamanya dengan suntikan modal sehingga RM100 bilion pada 2030.
"Kami juga menantikan potensi pemulihan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, yang mungkin menjadi fokus utama kerajaan baharu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15)," jelasnya. - DagangNews.com
#harga bahan binaan #harga keluli #MIDF Research #sektor pembinaan
;