Hard Rock Cafe Ipoh sasar 70,000 pengunjung tahun ini

Bernama
Julai 18, 2024 18:16 MYT
Pihak Hard Rock Cafe Ipoh yakin dapat mencapai sasaran berkenaan menerusi kalendar pelancongan ditetapkan kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Perak 2024. - Foto Bernama
IPOH: Hard Rock Cafe Ipoh yang mula beroperasi sejak 27 Mac lepas di PALO 101 di sini menyasarkan menarik kira-kira 70,000 pengunjung ke kafe tersebut tahun ini.
Penolong Pengurus Besar Hard Rock Cafe Ipoh Mohd Najip Ab Llah berkata kafe itu ketika ini menerima kira-kira 5,000 pengunjung setiap bulan.
Beliau berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran berkenaan menerusi kalendar pelancongan ditetapkan kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Menurut Mohd Najip, Hard Rock Cafe Ipoh yang mampu menempatkan 120 pelanggan pada satu-satu masa kini dalam proses memperkenalkan menu baharu meliputi bahan serta cara makanan itu dipersembahkan selain memperkenalkan set makan tengah hari.
"Dalam set makan tengah hari ini ada beberapa bahan tempatan termasuk nasi dan mi kari yang dijangka diperkenalkan pada awal Ogos ini," katanya ketika ditemui di sini.
Selain itu katanya Hard Rock Cafe Ipoh mempunyai kelainan dari segi seni bina berbanding Hard Rock Cafe lain di Malaysia yang dapat menjadi lokasi untuk bergambar.
-- BERNAMA
#Hard Rock Cafe Ipoh #sasar pengunjung #pelancongan #Tahun Melawat Perak 2024
;