Harapan golongan remaja menjelang Bajet 2016, apa kata Syed Saddiq

Luqman Hariz
Oktober 12, 2015 14:29 MYT
Syed Saddiq berkata menjelang bajet tahun ini, golongan remaja perlu menyatukan suara mereka demi memastikan hak dan kepentingan mereka terjaga dalam belanjawan tahun ini.
Wartawan Astro AWANI Luqman Hariz bercakap bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ikon remaja yang juga merupakan pendebat terbaik rantau Asia sebanyak dua kali dan pemegang rekod dunia di Kejohanan Debat Universiti Dunia.
Syed Saddiq berkata menjelang bajet tahun ini, golongan remaja perlu menyatukan suara mereka demi memastikan hak dan kepentingan mereka terjaga dalam belanjawan tahun ini.
Pembentangan Bajet 2016 akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober ini.
Menurut beliau, isu pengangguran serta peluang pekerjaan merupakan antara isu terpenting yang harus dipertimbang kerajaan dalam membentuk bajet tahun ini.
Beliau turut berpendapat skim Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini perlu dilaksanakan semula kerana peranannya yang penting dalam membantu mahasiswa menampung perbelanjaan harian serta pendidikan mereka.
Pada masa yang sama, Syed Saddiq turut menyeru kepada kerajaan supaya meningkatkan peruntukan biasiswa pengajian dalam bajet tahun ini.
Bagaimanapun, beliau turut mengetengahkan impak negatif yang mungkin boleh terhasil dari pemberian biasiswa pengajian kepada remaja.
Menurutnya di samping pemberian biasiswa atau pembiayaan pengajian, kerajaan pada masa yang sama harus bertumpu kepada penciptaan peluang pekerjaan.
Syed turut berharap lebih banyak golongan remaja akan disertakan di dalam perwakilan dan lembaga penasihat bukan saja untuk Bajet 2016, malah untuk kesemua inisiatif kerajaan pada masa hadapan.
Beliau akhir sekali menyeru kerajaan untuk meneruskan insentif-insentif bagi mengalakkan anak-anak muda negara kembali berkhidmat di Malaysia dan bukan di luar negara seperti mana yang dilihat sekarang.
Syed Saddiq hadir ke Astro AWANI untuk satu wawancara eksklusif menjelang pembentangan Bajet 2016.
Ikuti liputan khas Bajet 2016 mulai jam 3 petang Jumaat, 23 Oktober di Astro Awani saluran 501. Dapatkan semua berita dan video #Bajet2016 di sini.
##Bajet2016 #Bajet 2016 #graduan #Kad Diskaun Siswa #peluang pekerjaan #Syed Saddiq #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;