Hapus pencen pesara tidak munasabah - PM

Umavathi Ramayah
Januari 4, 2023 15:27 MYT
Peruntukan Perlembagaan, ada diuar-uarkan, Kerajaan Perpaduan akan menimbangkan untuk menghapuskan pencen (pesara) atau mengurangkan, itu tidak munasabah kerana ia melibatkan isu Perlembagaan, kata Anwar (tiga, kiri). - Foto PMO
PUTRAJAYA: Menghapuskan atau mengurangkan pencen bekas anggota Kabinet adalah tidak munasabah, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan, perkara itu melibatkan soal Perlembagaan, maka ia perlu diteliti dan dirujuk semua pihak.
"Sebagaimana yang diketahui peruntukan Perlembagaan, ada diuar-uarkan, Kerajaan Perpaduan akan menimbangkan untuk menghapuskan pencen (pesara) atau mengurangkan, itu tidak munasabah kerana ia melibatkan isu Perlembagaan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.
Anwar berkata, apa yang boleh dilakukan ketika ini adalah membatalkan kemudahan biasa dan peruntukan kereta untuk anggota Kabinet berikutan ia membabitkan pentadbiran dan bukan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
[TERKINI] Hapus pencen bekas anggota Kabinet tidak munasabah - PM
Sebelum ini bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mencadangkan agar Kerajaan memansuhkan pencen bekas anggota Kabinet.
Menurut Noor Amin, berdasarkan sistem semasa negara dan jumlah bekas Kabinet yang layak menerima pencen, kos yang ditanggung untuk pesara Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen adalah RM100 juta hingga RM150 juta setahun.
Katanya, pihak berkenaan sepatutnya tidak perlu diberikan pencen kerana ia dibayar berdasarkan cabang sistem eksekutif, bukan legislatif dan cukup sekadar mengambil gratuiti yang lumayan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai jangkaan penganalisis ekonomi bahawa Kadar Dasar Semalam (OPR) akan meningkat dua kali tahun ini, Anwar berkata, berdasarkan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada, keputusan membabitkan OPR adalah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM).
Namun begitu, beliau memberitahu, perbincangan akan dijalankan dengan Gabenor Bank Negara serta Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum Belanjawan 2023 dirangka.
#Anwar Ibrahim #pencen bekas anggota Kabinet #Perlembagaan #Kerajaan Perpaduan
;