Hapus hutang Felda: 98,867 setuju dengan nilai RM6.1 bil
Astro Awani
September 28, 2021 17:07 MYT
September 28, 2021 17:07 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 98,867 peneroka telah menandatangani ‘Perjanjian Penghapusan Pinjaman dan Pengurusan Kebun Antara Felda dan Peneroka’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia merupakan 86.89 peratus daripada keseluruhan 112,638 peneroka.
"Persetujuan tersebut melibatkan penghapusan RM6.1 bilion hutang peneroka daripada jumlah keseluruhan penghapusan berjumlah RM8.3 bilion," memetik jawapan bertulis di Dewan Rakyat bertarikh 27 September.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan peneroka Felda yang telah menandatangani perjanjian untuk mansuhkan hutang lapuk serta berapa jumlah hutang yang melibatkan peneroka-peneroka yang sudah
menandatangani perjanjian.
Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda secara bersyarat berjumlah RM8.3 bilion sebagai inisiatif penjanaan semula lembaga itu.