Hanya pihak berkaitan boleh putuskan kaji semula tawaran pengambilalihan MAHB - MOF
Bernama
Julai 18, 2024 23:51 MYT
Julai 18, 2024 23:51 MYT
KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan sama ada untuk mengkaji semula tawaran pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hanya akan dibuat oleh pihak yang berkaitan memandangkan tawaran itu bersifat komersial, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Secara prinsipnya, tawaran pengambilalihan MAHB merupakan urusan transaksi komersial yang dikemukakan konsortium diterajui dua pemegang saham sedia ada MAHB iaitu Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Kerajaan akan terus memantau perkembangan ini dan memastikan apa jua keputusan yang dicapai nanti perlulah dibuat berpandukan kepada undang-undang dan peraturan semasa ia berkuat kuasa," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Khamis.
Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai cadangan untuk mengkaji semula perjanjian antara Khazanah dan Global Infrastructure Partners (GIP) melibatkan MAHB.
Seandainya tawaran tersebut diterima dan dipersetujui oleh pemegang saham MAHB yang lain, Khazanah akan memiliki 40 peratus saham dalam MAHB dan KWSP memperoleh 30 peratus pemilikan, manakala Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan GIP akan memegang 30 peratus saham.
Menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai rasional untuk menswastakan MAHB, MOF berkata konsortium tersebut beranggapan penswastaan MAHB merupakan langkah terbaik membolehkan sebarang keputusan dan pelaburan jangka panjang dibuat pada kadar yang lebih pantas.
Antara bidang utama yang akan diberikan tumpuan oleh konsortium berkenaan adalah menyiapkan projek bermodal berkeutamaan tinggi, meningkatkan pengalaman penumpang di semua lapangan terbang, bekerjasama dengan syarikat penerbangan, mempercepatkan pelaburan modal dan membangunkan perniagaan sampingan di sekitar lapangan terbang.
-- BERNAMA