Hanya 7 peratus pekerja ekonomi gig berdaftar dengan Perkeso - Tengku Zafrul
Isabelle Leong
Julai 8, 2020 15:37 MYT
Julai 8, 2020 15:37 MYT
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sejak Januari 2020 sehingga kini, hanya tujuh peratus pekerja ekonomi gig daripada yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Oleh itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan berharap lebih ramai pekerja akan mencarum dengan Perkeso agar mendapat perlindungan daripada program PENJANA GIG.
“Menurut Perkeso, kesedaran masih kurang dan sejak Januari 2020 sehingga kini, hanya tujuh peratus atau 28,425 pekerja ekonomi gig berdaftar dengan Perkeso daripada sasaran 400,000 pekerja.
“Kerajaan berharap agar lebih ramai pekerja akan mencarum dengan Perkeso agar mendapat perlindungan PENJANA GIG,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-12 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Rabu.
Katanya lagi, dengan bayaran sebanyak RM232.80 untuk setahun, kerajaan membayar 70 peratus (RM163) manakala 30 peratus (RM69.80) ditampung penyedia platform.
“Kalau tuan-tuan dan puan-puan menaiki Grab atau membuat tempahan makanan dengan FoodPanda, tanyakanlah pekerja gig tersebut 'Dah mencarum dengan Perkeso ke belum?' Kalau sudah, beri mereka rating lima bintang," katanya.
#ekonomi gig
#Laporan Laksana Ke-12
#Menteri Kewangan
#PENJANA
#PENJANA GIG
#perkeso
#Pertubuhan Keselamatan Sosial
#PRIHATIN
#Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz