Hampir RM2 juta hasil jualan dijana usahawan Sarawak melalui program bimbingan INSKEN

Astro Awani
Oktober 21, 2024 14:26 MYT
Seramai 144 usahawan Sarawak diraikan melalui Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN Edisi Sarawak 2024 di Kuching Sarawak, baru-baru ini - Foto INSKEN
KUALA LUMPUR: Usahawan di Sarawak menjana hampir RM2 juta peningkatan hasil jualan melalui program bimbingan yang dilaksanakan oleh Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) sepanjang tahun ini.
Kesemua usahawan tersebut telah mengikuti empat Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) yang terbahagi kepada beberapa industri iaitu kafe & restoran, jualan pasar raya, spa serta bakeri.
INSKEN memaklumkan selain lonjakan hasil jualan, program utama institut itu juga berjaya mencipta 93 pekerjaan baharu dan 10 usahawan telah bertukar status perniagaan mereka daripada mikro kepada kecil.
"Manakala 25 peserta yang menyertai INSKEN Start-Up Coaching telah mencatat 287 peratus peningkatan skor diagnostik dalam jangka masa enam bulan mengikuti program bimbingan usahawan permulaan ini.
"Berbeza daripada Program IBBC, INSKEN Start-Up Coaching tidak diukur lonjakan hasil jualan, namun peningkatan skor diagnostik dinilai sebelum dan selepas menyertai program ini melalui 12 elemen utama seperti konsep perniagaan, produk, harga, dan pemasaran," kata institut itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd Firdaus Azharuddin dalam kenyataan sama berkata, langkah membuka cawangan INSKEN di Sarawak tahun lalu ternyata menghasilkan impak positif apabila lebih ramai usahawan di negeri ini mengambil peluang serta inisiatif untuk mendapatkan bantuan dari segi latihan serta bimbingan.
Menurutnya, setiap RM1 dibelanjakan untuk melaksanakan program bimbingan di Bumi Kenyalang ini, memberi pulangan sebanyak RM2.90 kepada ekonomi negara yang sekali gus turut meningkatkan kemajuan pembangunan ekosistem keusahawanan di Sarawak.
"INSKEN akan terus kekal proaktif membantu usahawan di Sarawak dan meningkatkan bantuan kepada mereka yang berada di kawasan pedalaman termasuk dengan cara berkolaborasi bersama pelbagai agensi di sini," ujar Muhd Firdaus.
Seramai 144 usahawan Sarawak iaitu 119 peserta Program IBBC dan 25 daripada Program INSKEN Start-Up Caoching telah diraikan melalui Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN Edisi Sarawak 2024 di Kuching Sarawak, baru-baru ini.
Secara keseluruhan, Program Bimbingan INSKEN mencatat RM9.4 Juta lonjakan hasil jualan, dengan 203 pekerjaan baharu melalui 377 usahawan yang telah dibimbing sepanjang tahun ini.
#usahawan #Latihan INSKEN #program pembangunan usahawan
;