Hampir gulung tikar, usahawan ini nekad ubah nasib dengan ceburi perniagaan digital

Haikal Raman
April 9, 2021 01:26 MYT
INSKEN menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program-program latihan dan bimbingan yang khusus.
KAJANG: Siapa sangka bermula hanya sekadar hobi dan melakukannya untuk kepuasan diri sendiri, kini minatnya terhadap kerja-kerja pertukangan bertukar menjadi sumber pendapatan tetap.
Pengasas Doktor Kayu Network, Nur Liyana Azim berkata minatnya terhadap pertukangan kayu bermula sejak kecil dan sering melakukan kerja-kerja tersebut bersama ayahnya.
“Boleh dikatakan yang ayah saya banyak mempengaruhi minat ini.
"Ketika saya kecil, beliau gemar mengumpul meja serta kerusi kayu yang dilupuskan dan kami akan mulakan projek pertukangan bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual di bengkel Doktor Kayu yang terletak di Desa Pinggiran Putra, Kajang, dekat sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, jenama Doktor Kayu hanya diperkenalkan pada tahun 2016 dan kebanyakan pelanggan terdiri dalam kalangan kenalan rapat.
Berkongsi lanjut, Nur Liyana yang juga mesra disapa Angah berkata beliau hanya menghasilkan meja kopi yang dibuatnya secara suka-suka.
“Namun tidak sangka hasilnya ‘menjadi’. Sudah 20 tahun saya meninggalkan hobi bertukang ini dan tidak sangka mampu menghasilkan meja kopi yang cantik.
“Saya kemudiannya memuat naik gambar dalam akaun peribadi Facebook dan mendapat banyak pertanyaan mengenai produk dihasilkan.
“Saya mula mendapat banyak tempahan perabot direka khas (custom made) ketika itu.
"Disebabkan ia dilakukan secara suka-suka dan hanya untuk kepuasan diri sendiri, harga yang ‘diletak’ kepada pelanggan hanyalah caj bahan sahaja.
“Namun, atas nasihat keluarga serta kawan-kawan, mereka meminta saya untuk jadikannya sebagai sumber pendapatan selain menetapkan harga pada nilai custom made dan bukan harga perabot sedia ada di pasaran,” ujarnya.
Jelasnya, pasaran bagi perabot custom made mempunyai potensi luas dan merupakan sebuah perniagaan yang baik kerana tidak ramai boleh menukang perabot mengikut cita rasa serta spesifikasi pelanggan inginkan.
“Mungkin kalau kita tengok lebih ramai gemar membeli perabot sedia ada, namun sesetengah pelanggan mahukan saiz yang spesifik serta mengikut ukuran tertentu.
“Kami tidak mengeluarkan kuantiti yang banyak, sebaliknya lebih kepada projek.
"Selalunya satu projek perlu menghasilkan empat hingga lima item, dan setiap daripadanya berharga RM10,000 hingga RM15,000,” katanya.
Bagaimanapun penularan pandemik COVID-19 memberi tamparan hebat terhadap ‘kesihatan’ Doktor Kayu sehingga menyebabkan Nur Liyana terdetik untuk menghentikan perniagaan berikutan jualan yang merosot.
“Bayangkan kami hanya memperoleh jualan sebanyak RM500 ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dan keadaan itu membuatkan saya keliru untuk merancang perniagaan.
“Sampai satu saat ketika itu terdetik untuk saya menutup syarikat. Bagaimanapun atas nasihat keluarga dan kawan-kawan, saya cuba bertahan serta cuba mengubah strategi perniagaan,” tambahnya.
Doktor Kayu cuba menghasilkan rekaan baharu menggunakan laser daripada mesin sedia ada kerana ketika itu pasaran tersebut masih kurang diceburi.
Menurut Liyana, bagi mendapatkan kembali jualan yang memberangsangkan, pihaknya perlu mengubah kaedah promosi yang lebih efektif dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) ada menawarkan kursus mengenainya.
Beliau berkata, dipilih untuk menyertai Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) – Kohort 02 telah menyebabkan transformasi model perniagaan Doktor Kayu kepada lebih digital serta memberi impak besar terhadap jualan syarikat.
“Peningkatan ketara dapat dilihat sejurus kami masuk program INSKEN.
"Hasilnya jika sebelum ini kami hanya perolehi RM500, namun kami berjaya merekodkan hasil jualan dari tiga angka kepada lima angka, iaitu peningkatan sebanyak lebih 4,000 peratus daripada apa yang kami peroleh sebelum ini”
“Jualan dicatatkan ini adalah selepas kami mengadaptasi semua ilmu yang dipelajari ketika menghadiri kursus disediakan INSKEN.
"Ia telah mengubah hala tuju model perniagaan kami yang kini lebih melibatkan pendigitalan,” ujarnya.
Program E-Board disertai Doktor Kayu menawarkan yuran serendah RM100 untuk kursus selama empat bulan yang mengajar kaedah teknikal promosi lebih efektif menggunakan platform sosial media, Facebook.
Program tersebut turut dilengkapi dengan aspek latihan, bimbingan (coaching) intensif dan hand-holding daripada pakar-pakar penjualan online dalam pelbagai platform seperti WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram dan YouTube.
Apa yang lebih menarik untuk kohort terbaharu, INSKEN menawarkan penambahan platform iaitu Shopee dan Lazada.
Mana-mana usahawan dan mereka yang berhasrat memulakan perniagaan serta berminat untuk menyertai program E-Board boleh membuat pendaftaran melalui Facebook INSKEN atau pautan di sini.
INSKEN turut menawarkan pelbagai pilihan latihan mengikut kesesuaian individu atau syarikat termasuk INSKEN Business Training (IBT), Kursus Asas Keusahawanan (KAK), Kursus Asas Keusahawanan Sosial (KAK Se) dan banyak lagi.
Tidak lupa juga INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), program bimbingan komprehensif selama empat bulan meliputi lebih 20 jenis industri.
Maklumat lanjut mengenai INSKEN boleh di dapati di laman web rasmi INSKEN.
#INSKEN #DoktorKayu #usahawan #BangkitKembali #Pertukangan #kemahiran #Eboard #Kohort02 #coaching #KAK #KAKSe #IBT #IBBC #KursusAsasKeusahawanan #BumiputeraBusinessCoaching