Hak paten: Kali ini keputusan berpihak kepada Samsung
AFP
Jun 5, 2013 09:14 MYT
Jun 5, 2013 09:14 MYT
Samsung memenangi satu keputusan penghakiman terhadap Apple pada Selasa berhubung isu hak paten apabila Panel Perdagangan Amerika Syarikat (AS) tidak membenarkan import dan jualan sesetengah model lama iPhone dan iPad.
Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa (ITC) berkata mereka telah mengeluarkan ‘arahan pengecualian terhad’ itu untuk beberapa peranti Apple selepas firma Korea Selatan itu mengalami kekalahan dalam sebutan kes bersama pesaingnya Apple pada tahun lalu.
Kemenangan itu bagaimanapun sekadar satu keputusan simbolik kerana pengharaman berkenaan merangkumi peranti yang tidak lagi dijual di pasaran AS seperti iPhone 4, iPhone 3, iPhone 3GS, iPad 3G dan iPad 2 3G yang dijual oleh AT&T.
ITC telah memutuskan keputusan tersebut namun rayuan masih boleh dikemukakan di Mahkamah Rayuan AS atau dibatalkan atas arahan presiden.
“Kami yakin keputusan akhir ITC itu menunjukkan inovasi teknologi Samsung ke atas sejarah perkembangan Apple,” jelas Samsung dalam satu kenyataannya.
“Puluhan tahun kajian dan pembangunan kami dalam bidang teknologi mudah alih akan berterusan. Kami akan terus menawarkan produk berinovasi kepada pengguna di AS.
Kes tersebut telah difailkan pada Ogos 2011 sewaktu itu kedua-dua pesaing itu sedang berlumba mendapatkan hak paten untuk peranti tablet dan telefon pintar masing-masing.
Dalam kes paten berasingan sebelum ini, Mahkamah Persekutuan AS telah mengarahkan Samsung membayar lebih $1 bilion berhubung pelanggaran hak paten yang juga menyebabkan pengharaman beberapa peranti Samsung.
Denda tersebut walaubagaimanapun dikurangkan menjadi $598.9 juta.