Hak-hak wanita di seluruh dunia terancam - PBB
Astro Awani
Oktober 21, 2021 07:27 MYT
Oktober 21, 2021 07:27 MYT
NEW YORK: Para pemimpin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran hak-hak wanita di seluruh dunia terancam terutamanya di negara-negara yang dilanda konflik.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan Pengarah Eksekutif Wanita PBB, Sima Sami Bahous berjanji akan melaksanakan lebih banyak usaha di peringkat agensi dunia itu.
Namun kedua-duanya meminta negara anggota untuk memberi komitmen dalam meningkatkan penyertaan dan perlindungan wanita di negara mereka.
Jelas Bahaous, penyertaan dan perlindungan wanita saling berkaitan dan ia memerlukan antara satu sama lain.
Tambah beliau, laporan PBB mendapati negara-negara di seluruh dunia terus melabur lebih banyak dalam pertahanan dan keselamatan sekaligus melupakan perkhidmatan sosial.
Dalam perkembangan sama, bahous menjelaskan, negara-negara konflik membelanjakan dua hingga tiga kali ganda dana untuk pertahanan berbanding rawatan kesihatan.
"Saya meminta masyarakat antarabangsa untuk berbuat lebih banyak supaya mendukung penyertaan wanita dalam membuat keputusan mengenai perbelanjaan sektor pertahanan dan keselamatan; untuk memperluas penggunaan bajet gender dan program untuk mempengaruhi tahap perbelanjaan ketenteraan dan untuk memperkuat pengawasan anggaran belanjawan tentera oleh rakyat melalui ketelusan dan akauntabiliti yang dipertingkatkan," katanya.
Sementara itu, Guterres berkata, sudah tiba masanya untuk mengembalikan hak wanita dan memberi peluang kepada seluruh umat manusia untuk membina keamanan yang dicari semua pihak.
"Ketidakseimbangan kekuatan antara lelaki dan wanita tetap menjadi yang paling sukar ditangani dalam semua ketidaksamaan.
"Ia menemukan ekspresinya dalam banyak cara: Dalam meningkatnya kadar keganasan dan prejudis yang dihadapi oleh wanita dan gadis di setiap masyarakat.
"Dalam jurang kekurangan wakil wanita dalam posisi membuat keputusan dan sudah pasti dalam pelbagai cabaran dihadapi oleh wanita dalam situasi konflik.
"Di dalam setiap keadaan kecemasan kemanusiaan, waktu untuk hak wanita tidak berhenti. Ia bergerak ke belakang," jelasnya.
Guterres dan Bahous juga berpandangan, wanita perlu mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan untuk memastikan keamanan dan kesaksamaan di seluruh dunia.