H&M bakal laksana caj pemulangan barangan
Fahmi Izuddin
September 30, 2022 09:30 MYT
September 30, 2022 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Jenama Fesyen Global, H&M bakal mengenakan caj pembayaran bagi setiap pemulangan barangan yang dibeli pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif H&M, Helena Helmersson berkata H&M kini dilaporkan dalam proses persiapan untuk menguji caj pemulangan barangan di beberapa pasaran.
“Semuanya bergantung kepada bagaimana ia diterima oleh pelanggan. Jadi itulah sebabnya kami melakukan ujian untuk melihat sama ada ia merupakan langkah yang perlu.
"Jika kami melancarkannya, ia akan mengambil sedikit masa, kami tidak mempunyai tempoh masa yang tepat mengenai pelaksanaannya. Tetapi kami akan melihat menerusi penilaian ujian, sama ada ini adalah perkara yang paling berkesan untuk dilakukan atau tidak,” ujarnya.
Dalam ulasan yang dihantar melalui e-mel kepada CNN Business, caj tersebut bagaimanapun hanya melibatkan pembelian secara dalam talian.
Sebaliknya tiada caj dikenakan jika pelanggan memulangkan produk yang dibeli di kedai.
Sementara itu H&M turut akui berdepan tekanan kos disebabkan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini termasuk kos bahan mentah tinggi, harga tenaga yang mahal, dolar Amerika Syarikat mengukuh, dan pemberhentian operasi H&M di Rusia.
Justeru syarikat itu sedang menyusun beberapa strategi untuk pengurusan kos lebih cekap termasuk mempertimbangkan caj pemulangan barangan secara dalam talian.
Selain pengurusan kos, cadangan caj itu juga adalah bertujuan mengawal inventori syarikat yang kini berlebihan susulan permintaan yang lemah pada ketika ini.
“Peruncit terperangkap dengan lebihan inventori tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini. Mereka tidak mampu untuk mengambil kembali lebih banyak lagi,” kata Pakar Inventori dan Pengarah Urusan Strategic Resource Group, Burt Flickinger.