'Guna simpanan Akaun 2 KWSP untuk PR1MA sahaja'
Luqman Hariz
November 4, 2016 10:43 MYT
November 4, 2016 10:43 MYT
Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengkhaskan simpanan Akaun 2 mereka untuk membeli rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak akan dikembangkan ke skim perumahan lain.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, ini untuk memastikan rakyat tidak rakyat memperoleh pinjaman rumah yang tidak mampu dibayar semula kelak.
Shahril berkata sekiranya rakyat terlalu mudah mendapat pinjaman rumah, ia juga meningkatkan kemungkinan terbentuknya gelembung perumahan.
"Apabila kerajaan meneliti situasi ini sebelum Bajet 2017 dan berbincang dengan sistem perbankan, Bank Negara, dan dengan kami, apa yang kami rasakan adalah walaupun ia baik untuk melonggarkan syarat pinjaman untuk orang ramai membeli rumah pertama dan rumah mampu milik, tetapi jika anda melonggarkannya terlalu banyak, ia akan mewujudkan gelembung perumahan dan menambah kecairan dalam ekonomi.
"Di samping itu, anda juga akan menggalakkan orang ramai membeli aset yang mereka mungkin tidak mampu bayar semula dalam jangka masa panjang.
"Sebab itu kami mengambil keputusan untuk mengehadkan skim ini hanya untuk rumah PR1MA, yang khusus untuk pembeli rumah pertama, dan rumah berharga RM300,000 dan ke bawah," katanya.
Pada Bajet 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, pencarum boleh mengkhaskan simpanan Akaun 2 mereka untuk membeli rumah PR1MA.
Melalui cara ini, simpanan Akaun 2 akan digunakan hanya untuk membayar semula pinjaman membeli PR1MA.
Jaminan ini akan membolehkan pembeli rumah mendapatkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi dari bank.
Bagaimanapun, pembeli tidak berupaya menggunakan simpanan Akaun 2 mereka untuk tujuan lain selagi pinjaman PR1MA masih belum dilangsaikan sepenuhnya.