Gudang robotik e-dagang pertama MR D.I.Y, pacu pertumbuhan syarikat
Haikal Raman
Mac 26, 2021 20:28 MYT
Mac 26, 2021 20:28 MYT
KUALA LUMPUR: Mengadaptasi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), peruncit barangan perkakas rumah MR D.I.Y Group (M) Bhd. (MR D.I.Y) kini mencapai peningkatan sebanyak 200 peratus kecekapan operasi menerusi gudang robotik e-dagang pertamanya di Seri Kembangan, Selangor.
Naib Presiden Pemasarannya, Andy Chin berkata, gudang robotik yang melibatkan keseluruhan pelaburan sehingga RM5 juta tersebut dijangka bakal merangsang segmen perniagaan e-dagang terhadap perolehan syarikat.
Pada tahun 2020, MR D.I.Y merekodkan peningkatan jualan menerusi segmen e-dagang sebanyak 300 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ia disumbang oleh pertumbuhan trafik jualan atas talian.
“Sistem automasi pintar ini mampu memenuhi pembelian dalam talian yang lebih pantas dan berkembang berbanding kaedah yang dilakukan secara manual.
“Teknologi diguna pakai menerusi robot diprogramkan ini membolehkan kami memproses pesanan dalam talian pada kadar tiga kali ganda. Ini membolehkan pelanggan menerima pesanan mereka dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas sesi lawatan ke gudang robotik MR D.I.Y baru-baru ini.
Menurut Chin, kaedah automasi ini mampu mengurangkan kemungkinan kesilapan manusia dan reka bentuk inovatifnya membolehkan gudang menyimpan pelbagai produk yang lebih luas, memberikan pelanggan pilihan yang lebih daripada 20,000 produk dalam talian.
“Sistem ini membolehkan syarikat memproses sebanyak 1,500 hingga 2,000 pesanan setiap hari dan dihantar dalam tempoh ditetapkan.
“Selain itu, ia mampu mengurangkan keperluan tenaga kerja fizikal bagi proses berulang serta memberi peluang kepada pekerja kami dalam meningkatkan kemahiran berkaitan robotik dan automasi,” ujarnya.
Tonton video gudang robotik e-dagang MR D.I.Y di sini:
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi MR D.I.Y di www.mrdiy.com, platform e-dagang www.mrdiy.com.my serta media sosial dengan carian MR DIY di Facebook dan Instagram.
#E-dagang
#automasiMRD I Y
#gudangautomasi
#IR4 0
#teknologipintar
#inovasisyarikat
#mrdiy com
#Malaysia
#onlineshopping
#PKP