GST tidak beri impak kepada pasaran insurans Takaful

Pritha Manivannan
April 1, 2016 05:49 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Berhad, Zafri Abdul Halim (kanan) melancarkan produk terbarunya, i-GREAT Salam di Kuala Lumpur - Foto Astro AWANI/Pritha Manivannan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak memberi sebarang impak kepada pasaran insurans Takaful sejak dilaksanakan setahun lalu di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Berhad, Zafri Abdul Halim berkata pelaksanaannya hanya telah meningkatkan perbelanjaan syarikat itu.
Walau bagaimanapun, beliau enggan memberikan maklumat lanjut tentang nilai peningkatan perbelanjaan tersebut.
"Dalam perniagaan ini, kami hanya perlu membayar GST bagi polisi tambahan berasaskan perubatan dan kebanyakkan produk kami tidak mempunyai polisi tambahan ini.
"Melalui polisi tambahan perubatan kami hanya mendapat impak dengan perbelanjaan tambahan bagi syarikat kami.
"Walau bagaimanapun, bagi 2015 kami telahpun bersedia. Kami merangka bajet kami sesuai dengan GST dan segala perbelanjaan tambahan. Ia lebih stabil buat masa ini," kata Zafri selepas Majlis Pelancaran i-GREAT Salam, produk terbaru Great Eastern Takaful Berhad di Kuala Lumpur pada Jumaat.
i-GREAT Salam merupakan pelan Takaful keluarga yang mempunyai perlindungan kesihatan yang lebih luas.
Ia boleh dimiliki oleh golongan berumur 30 hari ke 60 tahun dengan terma perlindungan sehingga 85 tahun.
Menurut Zafri, i-GREAT Salam bertujuan menyediakan bantuan dari peringkat kurang kritikal dengan 50 peratus pampasan jika penyakitnya dikesan awal, sehinggalah pampasan sepenuhnya di peringkat pertengahan dan akhir.
#cukai barangan dan perkhidmatan #Great Eastern Takaful Berhad #GST #i-GREAT Salam #Ketua Pegawai Eksekutif #Zafri Abdul Halim