GST: Silap titik perpuluhan, sebenarnya bukan bilion tapi juta - Guan Eng
Sinar Harian
Ogos 13, 2018 13:28 MYT
Ogos 13, 2018 13:28 MYT
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membetulkan angka baki tabung bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan RM1.486 bilion sebaliknya hanya RM148.6 juta.
Menurut Guan Eng, kesilapan angka itu dibuat pegawainya meletakkan titik perpuluhan pada angka tersebut.
"Saya ingin memohon maaf kepada dewan yang mulia dan Datuk Yang Dipertua atas kesilapan ini. Tetapi adalah lebih baik kami terus jujur dan berterus terang kepada dewan yang mulia ini daripada menyembunyikan perkara sebegini seperti kerajaan yang terdahulu.
"Sebenarnya angka baki sedia ada untuk tabung bayaran baki bukanlah RM1.486 bilion tetapi adalah RM148.6 juta sahaja. Ini merupakan kesilapan tidak sengaja daripada pegawai saya akibat salah letak titip perpuluhan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata ini menjadikan kerajaan kekurangan RM19.248 bilion bukan RM17.911 bilion.
"Ini bermaksud jumlah kekurangan dana dalam akaun bayaran balik adalah jauh lebih besar daripada yang dilaporkan sebelum ini iaitu RM19.248 bilion berbanding RM17.911 bilion sebelum ini.
"Dengan kata lain, tunggakan sejak 2015 yang tidak dapat dibayar balik adalah kerana tabung bayar balik GST kekurangan dana RM19,248 juta atas kegagalan kerajaan lama tidak memindahkan RM19,248 juta kepada tabung bayaran balik sehingga 31 Mei 2018," katanya.
Khamis lalu, Guan Eng mendedahkan kerajaan terdahulu gagal membayar tuntutan cukai input GST di mana sehingga 31 Mei 2018 tuntutan terkumpul sebanyak RM19.4 bilion.
Menurutnya ketika itu sebanyak RM1.486 bilion tersedia dalam tabung bayaran balik dan kekurangan RM17.911 bilion.
Dalam pada itu, pada sidang dewan rakyat hari ini, Guan Eng mendakwa kerajaan terdahulu membuat pemalsuan akaun dan penyelewengan bayaran balik GST itu.
"Tunggakan bayaran balik adalah disebabkan kelemahan aliran tunai kerajaan Persekutuan akibat kekurangan defisit fiskal, pembaziran berleluasa dan pertambahan hutang yang besar.
"Sebenarnya apa yang dilakukan oleh pentadbiran lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan bayaran balik cukai untuk kegunaan lain atau untuk menuntut defisit supaya mereka dapat menunjukkan kedudukan lebihan," katanya.