GST luaskan kutipan hasil negara, tapi tunggu waktu sesuai - Penganalisis
Dagang News
September 2, 2021 07:00 MYT
September 2, 2021 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan, MQ Research percaya penting untuk kerajaan mengambil kira faktor tempoh masa yang bersesuaian bagi memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Bagaimanapun, firma itu tidak menolak kenyataan bahawa sistem percukaian berkenaan mampu meluaskan asas dan kutipan cukai negara.
“Terdapat beberapa tentangan daripada pemain industri terhadap pengenalan GST pada tahun 2022, dan mereka mencadangkan supaya pengenalan semula itu dilakukan apabila ekonomi kembali stabil pada tahun 2023 atau 2024 dengan kadar yang lebih rendah, 3%,” jelas MQ Research dalam satu nota kajian.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan berkata, sebuah kajian semula yang menyeluruh ke atas rangka kerja insentif cukai sedang dijalankan.
Langkah ini bagi memastikan insentif cukai yang ditawarkan kepada pelabur asing dan tempatan kekal relevan dengan landskap semasa perniagaan.
Di samping itu, ia juga dijangka terus mengekalkan daya kompetitif negara dalam menarik pelaburan berkualiti seterusnya memberi pulangan positif kepada ekonomi dan kedudukan fiskal negara.
Pada Selasa, Persatuan PKS Malaysia dilaporkan menolak cadangan pelaksanaan semula GST hanya selepas ekonomi negara kembali pulih, bermula dengan kadar 3%.
Mereka melihat ia bukan sekadar mengganggu operasi perniagaan, tetapi meningkatkan kos serta mempengaruhi pemulihan perniagaan jika dilaksanakan bermula tahun depan.
Dari segi impak sistem cukai itu ke atas syarikat, MQ Research percaya ia akan meningkatkan 5% hingga 19% impak keuntungan ke atas My E.G Services Berhad menjelang tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY25 sekiranya pengecualian cukai diteruskan dengan GST diperkenalkan semula menjelang penghujung 2022.
“Ini akan bergantung kepada struktur dan ambang hasil barang niaga yang ditetapkan oleh kerajaan untuk dikenakan GST,” jelas firma itu lagi.
*Berita asal di DagangNews.com